Malaysia Oversight

Google Menggunakan AI Generatif Untuk Memudahkan Pembelajaran Bahasa Asing

By Amanz in April 30, 2025 – Reading time 2 minute
Google Menggunakan AI Generatif Untuk Memudahkan Pembelajaran Bahasa Asing


Apabila bercakap mengenai pembelajaran bahasa asing, beberapa perkhidmatan yang sering diperkatakan termasuklah Duolingo, Babbel, Rosetta Stone dan sebagainya. Google mempunyai alat terjemahan Google Translate yang boleh dimanfaatkan dalam beberapa cara, seperti input teks, melalui aplikasi kamera seperti Google Lens dan sebagainya, dan ia sangat berguna untuk situasi dimana anda memerlukan terjemahan bahasa serta-merta.

Google baru-baru ini telah memperkenalkan Little Language Lessons, iaitu perkhidmatan pembelajaran bahasa asing yang menggabungkan perkhidmatan AI Google Gemini dan kepelbagaian perkhidmatan Google sedia ada untuk membolehkan anda mempelajari bahasa baru secara lebih semulajadi.

image 91

Little Language Lessons terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Tiny Lesson, Slang Hang dan Word Cam. Tiny Lesson membolehkan anda untuk mempelajari frasa-frasa untuk digunakan dengan cepat, seperti bertanyakan arah, memesan makanan dan sebagainya.

Screenshot 2025 04 30 161343

Menggunakan Gemini, pengguna boleh menjana frasa yang boleh digunakan untuk perbualan ringkas bersama orang tempatan didalam bahasa yang difahami mereka.

Kedua ialah Slang Hang, yang boleh mengajar anda sedikit sebanyak mengenai loghat bahasa yang membolehkan anda berbual dengan lebih semulajadi, dan tidak terlalu baku. Anda boleh menggunakan Gemini untuk menjana dialog yang menggunakan “bahasa pasar” didalam dialog-dialog anda, yang secara kebiasaannya akan mengambil masa untuk anda memahami nuansa bahasa asing sebelum anda boleh menggunakannya dalam perbualan harian.

Screenshot 2025 04 30 161524

Ketiga ialah Word Cam, dan ini boleh dilihat sebagai penjenamaan semula Google Lens yang menggunakan kamera peranti pintar anda untuk bukan sahaja menterjemah teks, tetapi juga melabelkan objek gambar yang diambil dengan nama dalam bahasa asing.

Melalui laman Google Developers, mereka juga telah memperkenalkan beberapa prom yang boleh digunakan pada Gemini untuk menjana teks terjemahan bahasa untuk perkataan-perkataan dan frasa yang anda mahu pelajari dengan cepat.

Screenshot 2025 04 30 161630

Google mengatakan bahawa Little Language Lesson tidak akan menggantikan pembelajaran bahasa didalam kelas dengan guru bertauliah, tetapi sekiranya anda mahu mempelajari beberapa frasa tertentu untuk perjalanan ke luar negara, ia dilihat dapat membantu anda untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan.



Source link