Google Membayar $135 Juta Selesaikan Saman Mengambil Data Selular Android Tanpa Kebenaran
Effi Saharudin
Google bersetuju membayar $135 juta (~RM 531 juta) untuk menyelesaikan saman kelompok yang difailkan di California yang melibatkan pemindahan data selular tanpa kebenaran pada peranti Android. Android didakwa mengumpul data selular pengguna tanpa izin walaupun selepas aplikasi Google ditutup, lokasi dimatikan, dan skrin peranti dikunci.

Pengguna yang memfailkan saman mendakwa, data mereka digunakan oleh Google untuk pembangunan produk dan iklan yang bersasar. Untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, Google membayar $135 juta tetapi menafikan sebarang salah laku, berjanji tidak akan memindahkan data tanpa kebenaran semasa tetapan awal telefon, menyediakan kawalan kepada pengguna mengelakkan data dipindahkan dan menyatakan kewujudan pemindahan data dalam terma Google Play.
Walaupun jumlah pampasan adalah besar, setiap plaintif dalam saman kelompok ini hanya menerima bayaran maksimum $100 seorang. Ia masih memerlukan persetujuan hakim terlebih dahulu.






