Google Disiasat EU Kerana Melatih AI Menggunakan Kandungan Web dan YouTube
Effi Saharudin
Suruhanjaya Eropah (EC) memulakan siasatan anti monopoli ke atas Google kerana didakwa melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka menggunakan data daripada laman web dan video YouTube tanpa kebenaran pemilik harta intelek. EC berkata Google tidak memberikan pampasan sewajarnya kepada pemilik karya yang memuat naik video YouTube atau kandungan mereka digunakan untuk carian pantas AI Mode serta AI Overviews.

Pemilik laman web misalnya tidak diberikan pilihan untuk menghalang kandungan mereka digunakan oleh AI Mode serta AI Overviews. Apakah tindakan yang akan dikenakan ke atas Google jika didapati bersalah masih belum diumumkan oleh EC. Undang-undang Kesatuan Eropah (EU) melarang syarikat daripada menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran untuk memberikan kelebihan ke atas pesaing.
Sejak dua tahun kebelakangan ini syarikat teknologi utama dunia dikenakan pelbagai tindakan kerana amalan perniagaan yang dikatakan tidak menggalakkan persaingan. Google didapati melakukan monopoli dalam perniagaan carian web dengan mereka memegang lebih 80% pasaran. Wujud saranan supaya Google dipecahkan bagi memberikan peluang kepada syarikat lain bersaing dan memberikan pengguna pilihan lebih baik.






