Ejen AI Google Gemini Kini Boleh Diuji Pada Siri Galaxy S26 dan Pixel 10
Effi Saharudin
Era ejen kecerdasan buatan (AI) pada telefon pintar kini bermula selepas Google mengumumkan ciri ejen untuk Google Gemini kini boleh diuji di peringkat beta pada peranti siri Samsung Galaxy 26, Google Pixel 10 dan Google Pixel 10 Pro.

Menerusi ejen AI, pengguna hanya perlu menekan butang kuasa untuk menyeru Gemini sebelum memberikan arahan tugas. Misalnya arahkan Gemini untuk memanggil kenderaan swapandu untuk pulang ke rumah. Gemini tahu aplikasi serupandu yang sering digunakan dan alamat rumah tanpa pemilik peranti memberikan arahan tambahan.
Semasa ejen melakukan arahan yang diberikan, pengguna boleh melihat tugas yang dilakukan di skrin. Pada bila-bila masa sahaja butang Take Control boleh ditekan untuk mengambil alih tugas yang sedang dilakukan oleh ejen.
Ia turut boleh melakukan pembelian makanan dan barangan dapur berdasarkan tabiat pengguna. Malang bagi kita di Malaysia, kesemua ciri ini hanya boleh diuji pengguna di Amerika Syarikat dan Korea Selatan sahaja dengan aplikasi dalam kategori makanan barangan dapur dan serupandu.






