Donald Trump Paksa CEO Baru Intel Meletakkan Jawatan
Aman
Donald Trump melalui laman media sosial Truth Social hari ini menerbitkan perkongsian mengatakan CEO Intel baharu, Lip-Bu Tan perlu meletakkan jawatan dengan segera kerana konflik besar. Donald Trump menekankan tiada penyelesaian lain untuk masalah ini, dan Lip-Bu Tan perlu meletakkan jawatan.
Lip-Bu Tan dilantik menjadi CEO Intel pada bulan Mac 2025 lepas. Beliau dilahirkan di Malaysia dan kini memegang warganegara Amerika Syarikat.

Lip-Bu Tan sebelum ini sedia melakukan sejumlah pelaburan pada sejumlah syarikat memfokuskan pengeluaran cip yang berpusat di China. Namun, laporan lanjutan sebelum ini telah hadir mengatakan beliau telah menjual pegangan pada semua firma dan entiti di China. Kepakaran dan pengetahuan beliau dalam bidang semikonduktor membuatkan beliau dipilih untuk menerajui dan membaik-pulih Intel yang mengalami masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, beberapa perkara turut dipersoalkan, termasuk risau akan rahsia dijual kepada China dan juga ikatatan CEO berkenaan ke firma-firma di China. Sebelum ini, Cadence Design yang diterajui Lip-Bu Tan antara tahun 2008 ke 2021 sebelum ini dikatakan terlibat dalam menjual perisian rekaan cip kepada pihak universiti ketenteraan China, dan telah didenda oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Perkongsian Donald Trump ini turut menimbulkan reaksi berbeza daripada sejumlah pihak, termasuk membawa kesan negatif kepada harga semasa saham Intel. Beberapa penganalisa turut mengatakan Presiden sepatutnya tidak mencampuri urusan pengurusan sesuatu syarikat swasta, dan menentukan siapa yang menerajuinya.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.