DJI Osmo Action 6 Kini Boleh Dibeli Di Malaysia Bermula Harga RM2079
Amy Maizuraa
DJI hari ini secara rasminya melancarkan kamera aksi terbaharu Osmo Action 6 untuk pasaran Malaysia. Kamera ini ditawarkan dalam dua pilihan pakej iaitu Standard Combo dan Adventure Combo.

Standard Combo dijual pada harga RM2,079 dan merangkumi Osmo Action 6 bersama bateri Osmo Action Extreme Battery Plus (1950 mAh). Pakej ini turut disertakan dengan Osmo Dual-Direction Quick-Release Adapter Mount, Osmo Action Curved Adhesive Base serta Osmo Locking Screw. Selain itu, ia dilengkapi dengan kabel USB-C ke USB-C PD dan Osmo Action Anti-Slip Pad menjadikan set ini lengkap untuk kegunaan harian.


Adventure Combo pula berharga RM2,569 dan merangkumi semua aksesori dalam Standard Combo. Pakej ini turut ditambah dengan dua bateri Osmo Action Extreme Battery Plus tambahan, satu lagi Quick-Release Adapter Mount serta satu lagi Locking Screw. Selain itu, ia dilengkapi dengan Osmo Multifunctional Battery Case 3 dan Osmo Extension Rod sepanjang 1.5 meter menjadikannya pilihan lebih lengkap untuk kegunaan intensif.

Osmo Action 6 hadir dengan sensor CMOS 1/1.1 inci serta lensa sudut lebar dengan apertur f/2.0–f/4.0. Ia turut menyokong ISO sehingga 51,200 dalam mod Super Night, selain menawarkan resolusi imej maksimum 7168 × 5376 piksel serta zum digital 2X.

Kamera ini mampu merakam sehingga rakaman 4K/120fps 4:3 dengan sokongan gerakan perlahan, RockSteady 3.0 dan HorizonSteady. Ia menyokong JPEG/RAW dan MP4 (HEVC), dilengkapi storan 64GB (50GB boleh digunakan), audio AAC 48kHz serta kad microSD sehingga 1TB.

Kamera ini juga kalis air sehingga 60 meter dengan kerangka khas. Ia turut dilengkapi tiga mikrofon, skrin hadapan 1.46″ serta skrin belakang 2.5″ di samping menggunakan bateri 1950mAh yang mampu bertahan sehingga 4 jam.


Bersempena pelancaran ini, DJI Malaysia bersama Hong Kong Tourism Board kini menganjurkan dua kempen cabutan bertuah. Melalui Spend & Win, beli produk DJI bernilai RM888 ke atas antara 19 November hingga 31 Disember 2025, ikuti @dji.malaysia serta @discoverhongkong di Instagram dan muat naik resit pembelian. Seorang pemenang akan menerima sepasang tiket pergi balik ke Hong Kong.
Selain itu, kempen Social Media Giveaway sedang berlangsung dari 22 November hingga 10 Disember 2025. Dengan hanya menyertai cabutan melalui kemaskini rasmi DJI Malaysia di Instagram, dua pemenang bertuah akan dipilih untuk menerima masing-masing sepasang tiket pergi balik ke Hong Kong.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






