
Disney+ Hotstar baru-baru ini telah menjenamakan semula penawaran mereka kepada Disney+ sahaja, dan terbaru hari ini pihak Disney mula memaklumkan para pengguna berkaitan perubahan pada harga langganan perkhidmatan penstriman mereka berkuat-kuasa 18 Disember 2025.
Bermula 18 Disember 2025 kelak, harga langganan Disney+ bermula RM29.90 sebulan. Disney+ Premium pula berharga RM49.90 sebulan, sementara Disney+ Premium untuk tiga bulan pula RM99.90.
Pihak Disney mengatakan pelan tahunan untuk Disney Basic dikekalkan pada harga RM214.90 setahun atau Disney+ Premium tahunan pada harga RM289.90 setahun. Pelan premium menawarkan akses kepada sehingga 3 skrin secara serentak pada waktu sama, dan paparan pada resolusi mencapai 4K.
Sebelum ini, pada awalnya Disney+ Hotstar ditawarkan di Malaysia pada harga langganan RM54.90 untuk tiga bulan, sebelum ia ditingkatkan menjadi RM24.90 sebulan atau RM79.90 untuk tiga bulan berkuat-kuasa April 2024 yang lepas. Kini, selang lebih setahun, sekali lagi harga perkhidmatan penstriman berkenaan ditingkatkan.






