Cip Snapdragon 6s Gen 2 Dan Snapdragon 4 Gen 4 Dilancarkan Untuk Peranti Mampu Milik
Amy Maizuraa
Qualcomm telah melancarkan Snapdragon 6s 4G Gen 2 yang disasarkan untuk peranti kelas permulaan dan pertengahan manakala Snapdragon 4 Gen 4 turut diperkenalkan bagi segmen sama.

Snapdragon 6s Gen 2 dibina menggunakan teknologi 6nm dengan CPU Kryo sehingga 2.9GHz iaitu 51% lebih pantas berbanding pendahulunya. Manakala GPU Adreno menawarkan prestasi 20% lebih baik serta menyokong paparan 1080p+ pada kadar segar semula 120Hz. Cip ini menyokong sehingga 8GB RAM LPDDR4X serta storan UFS 2.2. Selain itu, port USB mencapai kelajuan USB 3.1 dan menyokong Quick Charge 3 yang mampu mengisi 80% bateri dalam masa 35 minit.
Cip ini menyokong sehingga 108MP dengan ISP tiga saluran yang boleh mengendalikan konfigurasi 13+13+5MP atau 16+16MP. Ia turut menyokong rakaman foto dalam format HEIC serta video HEVC manakala resolusi video maksimum 1080P/60FPS. Sambungan menggunakan Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.2 (aptX Adaptive) manakala Qualcomm turut menambah teknologi kedudukan berasaskan sensor untuk meningkatkan ketepatan ketika digunakan dalam kereta ataupun semasa berjalan kaki.

Snapdragon 4 Gen 4 dibina menggunakan teknologi 4nm dengan dua teras Kryo sehingga 2.3GHz dan enam teras sehingga 2.0GHz, manakala GPU Adreno menyokong paparan 1080p+ pada kadar segar semula 120Hz. Cip ini turut menyokong RAM LPDDR5 (3,200MHz) serta storan UFS 3.1. Selain itu, ia boleh disambungkan kepada port USB 3.2 Gen 1 dan menyokong Quick Charge 4+ yang mampu mengecas sehingga 50% bateri dalam masa 15 minit.
Seterusnya, ia hadir dengan modem 5G sub-6GHz Rel. 16 (SA dan NSA) yang menyokong kelajuan muat turun sehingga 2.5Gbps serta muat naik sehingga 900Mbps. Sambungan masih menggunakan Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.1 (aptX) manakala sokongan kedudukan adalah sama seperti Snapdragon 6s 4G Gen 2. Dari segi kamera, cip ini menyokong sehingga 108MP dan rakaman video 1080P/60FPS.






