China Mencadangkan Pembentukkan Badan Kerjasama AI Pada Peringkat Global
July 27, 2025
•
Aman
China kini mencadangkan supaya sebuah badan kerjasama ditubuhkan pada peringkat global, dengan fokus untuk kerjasama melibatkan kecerdasan buatan. Dengan langkah ini, China ingin pelbagai pembangunan berkaitan kecerdasan buatan dikongsikan terbuka, sekaligus memberikan peluang sama rata oleh semua negara dan syarikat untuk membangunkan dan menggunakannya.
Langkah ini dilihat berbeza dan merupakan langkah balas terhadap Amerika Syarikat yang lebih mengawal akses teknologi mereka oleh beberapa negara, termasuk China. Pada hari ini sendiri, sejumlah syarikat China sedia menawarkan model kecerdasan buatan mereka dalam bentuk sumber terbuka, yang dilihat memberikan cabaran kepada pelbagai model yang dibangunkan syarikat bernilai berbilion ringgit dari Amerika.
Tidak setakat itu, badan kerjasama ini juga turut boleh berbincang melibatkan konsep kawal selia melibatkan kecerdasan buatan, selain pelbagai bentuk kerjasama lain melibatkan arena yang sedang berkembang pesat ini.
China pada hari ini sedia menghadapi kekangan untuk mengakses cip yang dibangunkan syarikat Amerika. Malah, sebelum ini Huawei turut diharamkan daripada bukan sahaja akses cip, tetapi juga akses kepada perkhidmatan Google dan lain-lain. Langkah ini sekaligus membuatkan Huawei membangunkan alternatif mereka tersendiri, dan kini Huawei turut bergiat aktif dalam membangunkan cip alternatif untuk penawaran NVIDIA.
Kecerdasan buatan dilihat sebagai suatu arena yang kini berkembang pesat, dan pelbagai syarikat kini bersaing secara aktif antara satu sama lain. Hal ini turut membawa kepada pelbagai perbincangan, termasuk bagaimana penggunaan data oleh syarikat yang berpusat di negara lain, memandangkan data berkenaan turut digunakan untuk tujuan melatih setiap model berkaitan.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.