Butiran Cip Pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh Tertiris Melalui Penanda-Aras GeekBench
Nazrin
Intel telah mengumumkan butiran penuh siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 “Panther Lake” mereka di acara CES 2026, yang rata-rata memfokuskan kepada peranti komputer riba sahaja. Intel nampaknya tidak memperlihatkan apa-apa maklumat tentang Arrow Lake Refresh, iaitu kemaskini kepada siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 2 untuk desktop dan komputer riba di acara tersebut.
Terkini, butiran mengenai cip pemprosesan tersebut telah tertiris ke arena web, melalui platform penanda-aras GeekBench yang nampaknya telah diuji melalui sebuah komputer riba Acer Predator baru yang tidak diumumkan di acara CES 2026.

Tangkapan layar skor komputer riba tersebut memperlihatkan penggunaan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 290HX yang mempunyai 24 teras fizikal (8 teras Performance, 16 teras Efficiency). Buat masa ini, cip pemprosesan komputer riba Intel yang paling berkuasa ialah Intel Core Ultra 9 285HX yang hadir dengan jumlah teras yang sama, dengan kelajuan frekuensi maksima setinggi 5.5GHz.
Ini sedikit sebanyak mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan Arrow Lake Refresh akan sedia ditawarkan di pasaran global tidak lama lagi, walaupun ia dilihat agak aneh mengapa Intel tidak memperlihatkannya sewaktu acara CES 2026.






