ASUS dijangka akan memperlihatkan banyak peranti-peranti dan juga komponen baru sewaktu acara CES 2026 yang akan berlangsung minggu hadapan di Las Vegas. Selain daripada pilihan komputer, komponen dalaman dan aksesori lain, penawaran paparan skrin baru juga dijangka akan hadir di acara tersebut.
Terkini, ASUS telah mengacah kembalinya sebuah konsep paparan gaming gergasi, iaitu Big Format Gaming Display. sebuah paparan gaming gergasi yang menawarkan olahan warna cantik dan juga kadar segar semula tinggi. Diperkenalkan pada tahun 2018, ASUS telah memperlihatkannya melalui paparan skrin ASUS ROG Swift PG65.
Apa yang berbeza kali ini ialah ASUS mengatakan bahawa pengguna tidak lagi memerlukan permukaan meja yang besar untuk merumahkan paparan gergasi ini. Tiada sebarang butiran yang diperlihatkan oleh ASUS buat masa ini, jadi mungkin ia bukan sebuah paparan skrin tradisional.

Beberapa tahun lalu, kami juga pernah mengulas tentang paparan skrin BFGD keluaran ASUS, iaitu ASUS ROG Swift OLED PG42UQ.






