ASUS ExpertCenter P470VA Ialah Pahlawan Produktiviti Pejabat Yang Anda Perlukan
Nazrin
Siri komputer ASUS Expert hadir dengan pelbagai rekabentuk yang bersesuaian dengan keperluan produktiviti pejabat dan pekerja. Jika sebelum ini, sebuah komputer riba dan desktop telah diperlihatkan, ASUS juga hadir dengan sebuah lagi komputer desktop dalam bentuk komputer All-In-One yang menggabungkan kuasa perkomputeran dan paparan skrin besar dalam satu rangka yang muat diatas meja bekerja tanpa memakan ruang yang banyak.

ASUS ExpertCenter P470VA ialah model terbaru dalam siri komputer AIO keluaran ASUS, dan ia menggabungkan rekaan komputer AIO klasik dengan spesifikasi dalaman moden yang cukup berkuasa untuk menggerakkan perisian-perisian produktiviti moden dan juga menggunakan teknologi-teknologi kecerdasan buatan terbaru di pasaran.
Komputer ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-13620H bersama gabungan memori LPDDR5 sehingga 32GB dan storan SSD sehingga 2TB bergantung kepada konfigurasi yang dipilih.
Komponen-komponen ini disimpan di belakang paparan skrin IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz yang cukup besar sekali, tetapi muat di atas sebuah meja pejabat dimana hanya bahagian tapak sahaja yang akan memakan sedikit ruang, selain daripada papan kekunci dan tetikus yang bersaiz padat.

Ketinggian paparan juga boleh diubahsuai dengan mudah dengan hanya menarik paparan ke atas dan bawah sejauh 150mm. Ia juga boleh dicondongkan ke kiri, kanan, atas dan bawah tanpa masalah. Jika anda mahu menggunakan paparan komputer ini dalam orientasi menegak, anda juga boleh memusingkan paparan ke sudut 90 darjah, dan sistem operasi akan mengubah orientasi secara automatik.

Paparan skrin IPS bersaiz 27 inci ini juga membolehkan anda melakukan tugasan-tugasan berbeza secara serentak dengan ciri Snap Layouts yang membolehkan anda untuk menyusun tetingkap-tetingkap perisian berbeza untuk melihat kedua-duanya secara serentak.
Ciri ini juga sangat berguna kepada mereka yang perlu sering memeriksa beberapa jenis kandungan sekaligus untuk tujuan kerja tanpa perlu membuang masa dengan menukar tetingkap pada skrin setiap masa anda mahu meneliti kandungan berlainan.

ASUS ExpertCenter P470VA juga hadir dengan sebuah kamera web 1080p yang terbina di bahagian atas paparan skrin. Ia disorokkan secara lalai, dan boleh diaktifkan dengan menarik modul komputer tersebut keatas, dan boleh disimpan apabila ditolak kebawah untuk masuk disebalik paparan skrin.

Pengaktifan dan simpanan manual ini menjanjikan tahap keselamatan yang lebih selamat dan memastikan bahawa kamera tidak dapat merakam video tanpa kebenaran walaupun sekiranya komputer ini digodam.

Papan kekunci dan tetikus berwayar juga ditawarkan bersama setiap pembelian komputer ASUS ExpertCenter ini.

Bercakap tentang keselamatan, ASUS ExpertCenter P470VA ini juga hadir dengan penilaian MIL-STD 840H yang mengesahkan bahawa ia hadir dengan rekaan tahan lasak. Sebagai keperluan asas, ASUS mengatakan bahawa kebanyakan, jika tidak semua siri komputer ASUS ExpertCenter hadir dengan penilaian ini untuk memastikan bahawa ia boleh beroperasi dalam pelbagai jenis keadaan.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ke-13 juga membolehkan pengguna untuk memanfaatkan sejumlah teknologi kecerdasan buatan yang diperkenalkan oleh bukan sahaja Microsoft melalui Copilot, tetapi juga ASUS sendiri melalui ExpertMeet AI dan ASUS AI Expert.

Perisian ExpertMeet AI memudahkan anda mengadakan sesi telesidang yang bukan sahaja berkualiti dari segi video dan audio, tetapi memudahkan proses-proses lain seperti perkongsian dokumen sulit melalui sokongan tambahan tera air terbina, fungsi transkripsi suara ke teks yang cepat dan tepat dan juga untuk merumuskan sesi telesidang.

Selain daripada itu, pengguna juga boleh memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan Microsoft Copilot untuk tujuan carian ataupun AI generatif untuk membolehkan anda mencipta kandungan dengan cepat dan mudah.

Dari segi sokongan palam pula, komputer ini hadir dengan satu palam USB 3.2 Type-C, tiga palam USB 3.2 Type-A, dual palam HDMI 1.4, satu untuk disambungkan ke komputer lain, dan satu untuk disambungkan ke paparan lain jika anda mahu menambah jumlah paparan dan satu palam audio 3.5mm untuk pembesar suara ataupun fon kepala.

ASUS ExpertCenter P470VA ialah komputer produktiviti semua-dalam-satu yang sesuai untuk tugasan-tugasan produktiviti di pejabat dan boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan pekerja, dari segi penghasilan dokumen ke mesyuarat-mesyuarat telesidang yang boleh dirumuskan dengan cepat dengan bantuan teknologi AI.

Untuk perniagaan-perniagaan yang berminat untuk mendapatkan komputer-komputer ASUS ExpertCenter, ASUS Malaysia menawarkannya pada harga RM5299, dan butiran lanjut mengenai komputer ini boleh diperlihatkan pada laman web mereka.
Penafian: Advertorial dari ASUS Malaysia
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






