Apple Sedang Membangunkan Pin Pintar Seakan AirTag
Effi Saharudin
Peranti seterusnya daripada Apple mungkin adalah pin pintar seakan Humane AI Pin menurut laporan The Information. Ia dipercayai berbentuk bulan dan nipis dengan tubuh pula diperbuat daripada aluminium serta kaca. Terdapat dua kamera, satu sudut lebar dan satu lagi ultra lebar untuk merakam gambar serta video. Jika pembangunan berjalan lancar, pin pintar Apple akan dilancarkan pada tahun 2027.

Tiga mikrofon juga disertakan untuk ia mendengar arahan suara yang diberikan oleh pemakai. Ia kelihatan seperti sebuah AirTag cuma sedikit lebih tebal. Ini kali pertama Apple dikhabarkan membangunkan sebuah pin pintar. Laporan lain sebelum ini mengatakan tumpuan diberikan kepada pembangunan cermin mata pintar sehingga menyebabkan Vision Pro lebih mampu milik ditangguhkan.
Setakat ini tidak ada satupun perkakasan kecerdasan buatan (AI) yang berjaya mendapat sambutan orang ramai. AI Pin gagal sehingga terpaksa dijual kepada HP. Rabbit R1 pula senyap sehingga ke hari ini tanpa perancangan melancarkan produk baharu.
Hanya OpenAI secara aktif membangunkan perkakasan AI pertama mereka dengan bantuan Jony Ive. Sam Altman berkata ia akan membebaskan pemilik daripada perlu melihat skrin telefon pintar setiap masa dengan ia dikawal sepenuhnya dengan suara.






