Apple Menyaman Peniris Maklumat Terkemuka
July 18, 2025
•
Effi Saharudin
Jon Prosser ialah antara peniris maklumat berkenaan Apple yang cukup prolifik. Awal tahun ini beliau berkongsi konsep antaramuka baharu yang dipercayai akan digunakan pada iOS 19 yang kemudian dinamakan sebagai iOS 26. Hari ini beliau telah disaman oleh Apple kerana meniriskan maklumat tersebut.

Tiga rahsia Apple yang ditiriskan ialah rekaan semula antaramuka Liquid Glass, aplikasi kamera dan aplikasi pemesejan. Selain Prosser, seorang lagi individu Michael Ramacciotti turut dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan Apple. Apple mendakwa Prosser dan Ramacciotti mengakses peranti milik seorang kakitangan Apple untuk mencuri rahsia sistem operasi baharu yang sedang dibangunkan. Berdasarkan maklumat yang berjaya dicuri, imej pengolokan telah dihasilkan oleh Prosser sebelum ditiriskan.
Saman difailkan bagi memastikan lebih banyak rahsia syarikat tidak ditriskan ke arena web dan meminta ganti rugi. Dalam ciapan yang dihantar di X, Prosser mengatakan beliau tidak mengakses peranti kakitangan Apple tanpa kebenaran dan akan menghubungi Apple.
Apple semakin agresif menyaman dan mengambil tindakan ke atas kakitangan yang meniriskan maklumat kepada wartawan. Maklumat yang tertiris boleh menyebabkan ciri baharu yang ingin diperkenalkan kemudiannya ditiru oleh pesaing.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.