Apple iPhone Air Diperkenalkan Gantikan Keluarga “Plus” – Rekaan Nipis Dan Ringan, Satu Kamera, Dengan Harga Bermula RM4999
Aman
Pada tahun ini, Apple menamatkan penawarkan keluarga iPhone Plus, dan kini sebagai ganti untuknya, Apple hadir dengan siri baharu dinamakan iPhone Air. Seperti pada namanya yang dibawa daripada keluarga MacBook Air, iPhone Air turut memfokuskan kepada rekaannya yang nipis dan ringan.

Apple mengatakan iPhone Air ini adalah model iPhone yang paling nipis pernah dihasilkan setakat ini. Ia hadir dengan skrin 6.5-inci Super Retina XDR dengan sokongan ProMotion sehingga 120Hz, dijana dengan cip Apple A19 Pro, selain turut hadir dengan cip rangkaian tanpa wayar N1 untuk sokongan WiFi 7, dan Bluetooth.
Apple iPhone Air ini dikatakan akan menawarkan masa penggunaan bateri sepanjang hari. Melengkapkan telefon pintar nipis dan ringan ini adalah kamera utama belakang 48-megapixel, dan juga kamera swafoto 18-megapixel.

Dari segi ketebalan, iPhone Air ini setebal 5.6mm, dan mengatakan menggunakan kerangka berasaskan titanium untuk binaan yang kukuh dan tahan. iPhone Air turut menyertakan Action Button dan juga Camera Control pada bahagian tepi – seperti siri iPhone lain.
Disamping itu, iPhone Air hadir dengan rekaan hanya eSIM sahaja, dan tidak menyertakan ruangan untuk SIM fizikal.

Di Malaysia, iPhone Air ditawarkan pada harga bermula RM4999 untuk model storan 256GB, dan turut hadir dengan saiz storan lebih besar. Pengguna Malaysia boleh pra-tempah iPhone Air bermula 12 September, dan mendapatkannya bermula 19 September 2025.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.