Apple iPhone Air 2 Mungkin Dilengkapi Dwi-Kamera Utama
Effi Saharudin
Selepas dilancarkan, Apple iPhone Air menerima pujian kerana rekaannya yang bergaya dan peranti ini ringan berbanding siri iPhone 17 yang dilancarkan pada waktu yang sama. Selepas beberapa minggu, pembeli memulangkan semula peranti dengan Apple dilaporkan mengurangkan pengeluaran sehingga 80% kerana kurangnya permintaan.

Antara faktor utama ini berlaku ialah bateri iPhone Air yang tidak tahan lama dan ia hanya dilengkapi satu kamera sahaja di belakang. Kini menurut peniris maklumat Digital Chat Station, iPhone Air 2 tahun depan akan dilengkapi dwi-kamera utama supaya kesilapan tahun ini tidak berulang.
Kamera kedua ialah lensa ultra sudut lebar sama seperti model iPhone 17. Ia mungkin adalah langkah bijak kerana pada tahun 2025, tidak masuk akal telefon pintar hanya dilengkapi mono kamera. Tetapi pada hemat kami bateri juga perlu dipertingkatkan kerana tidak ada seorangpun hamba Allah di muka bumi ini mahu peranti yang dicas dua kali sehari.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






