Apple Dilaporkan Membayar Google $1 Bilion Setahun Untuk Gemini Selepas OpenAI Enggan Bekerjasama
Effi Saharudin
Antara berita menggemparkan minggu ini ialah Apple akan menggunakan model kecerdasan buatan (AI) Google Gemini untuk Apple Intelligence selepas usaha yang dibangunkan sendiri tidak mencapai sasaran. Ia dilihat sebagai kejayaan besar Google Gemini dalam perang AI memandangkan OpenAI tidak dipilih.

Pagi ini muncul laporan daripada Financial Times yang mengatakan Apple membayar Google sekitar $1 bilion untuk menggunakan Gemini. Walaupun menggunakan Gemini, model ini akan dikendalikan sendiri oleh Apple menerusi pelayar Private Cloud Compute milik mereka bagi mengawal privasi pelanggan.
Kontrak selama beberapa tahun ini dilihat agak menguntungkan kerana Apple tidak perlu melakukan pelaburan untuk membangunkan model sendiri yang turut memerlukan pelaburan besar membina pusat data seperti yang sedang dilakukan Google, OpenAI, Microsoft dan Meta.
Dalam laporan yang sama, OpenAI turut dikatakan enggan meneruskan kerjasama dengan Apple walaupun ChatGPT diintegrasikan dalam Apple Intelligence di peringkat awal. Tiada sebab mengapa OpenAI menolak tetapi spekulasinya ialah mereka sedang membangunkan perkakasan AI sendiri dengan bantuan Jony Ive. Bagi memastikan tiada konflik kepentingan berlaku, kerjasama dengan Apple tidak diteruskan. Peranti AI yang sedang dibangunkan ingin menggantikan iPhone dengan ia mungkin sebuah pen pintar atau kalung yang digantung pada leher.






