Apple Dilaporkan Bekerjasama Dengan Anthropic Untuk Bangunkan Xcode Dikuasakan AI
May 3, 2025
•
Aman
Apple kini dilaporkan bekerjasama dengan Anthropic dalam membangunkan sokongan penjanaan berasaskan kecerdasan buatan pada Xcode. Dengan langkah ini, para pengaturcara yang menggunakan Xcode pada platform Apple, boleh menggunakan sokongan AI dalam menjana kod, menulis, menyunting, serta menguji sesuatu kod berkenaan.
Langkah ini sekaligus akan memudahkan proses pembangunan sesuatu aplikasi atau web menggunakan Xcode. Apple dikatakan sedang menguji perkara ini secara dalaman, dan tidak diketahui sama ada akan menawarkan versi ini untuk pengguna awam atau sebaliknya. Model Claude Sonnet dikatakan digunakan untuk tujuan memudahkan proses pengaturcaraan melalui Xcode.
Seperti ramai sedia maklum, kebelakangan ini, platform pengaturcaraan berasaskan kecerdasan buatan semakin mendapat perhatian. Antara platform popular adalah Cursor, selain OpenAI turut dikatakan sedang berbincang untuk mengambil-alih Windsurf. Microsoft turut tidak ketinggalan melalui penawaran GitHub CoPilot mereka.
Apple kebelakangan ini dilihat sedang memfokuskan lebih usaha dalam integrasi kecerdasan buatan, selepas pelbagai ciri yang diumumkan mereka pada setahun lepas mengalami kelewatan. Selain Siri yang mengalami kelewatan integrasi AI, Apple turut pernah mengumumkan Swift Assist yang diintegrasikan pada Xcode pada 2024 lepas, namun, ia masih tidak ditawarkan kepada umum sehingga kini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.