Android 16 QPR2 Tiba Dengan Ciri Rumusan Notifikasi, Kawalan Peranti dan Ketercapaian Baharu
Effi Saharudin
Kemas kini Android 16 QPR2 dilancarkan awal pagi tadi dengan ia adalah yang terakhir diberikan untuk tahun 2025. Menerusinya beberapa ciri baharu diperkenalkan untuk memudahkan lagi penggunaan peranti khususnya dalam menghasilkan rumusan notifikasi, kawalan peranti oleh ibu bapa serta penjaga dan ciri ketercapaian untuk pengguna OKU.

Kita mulakan dengan ciri notifikasi pintar yang meringkaskan mesej-mesej panjang dan bebenang perbualan dalam aplikasi pemesejan. Notifikasi turut boleh dikumpulkan ke dalam kategori tertentu mengikut kepentingan. Notifikasi penting akan dipaparkan lebih tinggi pada talam notifikasi.
Antaramuka ditambah lagi dengan pilihan memperibadikan lagi bentuk ikon, sokongan tema dengan pek ikon khas dan tema gelap automatik. Aplikasi yang tidak mempunyai sokongan tema gelap natif boleh dipaksa untuk berubah ke mod gelap yang tidak menyakitkan mata.
Bagi ibu bapa serta penjaga pula, kawalan peranti milik anak boleh dilakukan terus daripada peranti anak. Kod kunci dimasukkan dan peranti anak boleh diubah tetapannya secara terus tanpa mereka perlu membuka aplikasi Family Link di telefon sendiri.

Dari segi ketercapaian pula, ciri Expressive Captions akan memberikan kapsyen video yang ditonton dengan ekspresi suara secara automatik. Dengan ini pengguna pekak akan dapat memahami konteks audio dalam video yang tidak boleh mereka dengari.
Bagi yang menggunakan tetikus dengan peranti Android, ciri AutoClick akan melakukan klik apabila anak panah diletakkan di atas elemen antaramuka. Pengguna boleh menetapkan waktu menanti sebelum AutoClick melakukan tekanan skrin bagi pihak mereka.

Guided Frame dalam aplikasi kamera pula akan memberikan pengguna kurang daya penglihatan narasi apakah yang dilihat menerusi viewfinder kamera. Dengan ini tangkapan gambar lebih baik boleh dilakukan.
Seterusnya Voice Access pula membolehkan telefon Android dikawal sepenuhnya menggunakan arahan suara pemilik. Akhir sekali Google Fast Pair kini menyokong tambatan alat bantuan pendengaran keluaran Demant. Bermula tahun depan alat bantuan pendengaran Starkey pula akan disokong.
Kesemua kemas kini Android 16 QPR boleh dimuat turun peranti Google Pixel yang disokong hari ini dengan pada peranti Android lain ia bergantung kepada pengeluar.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






