
AMD Akan Kekal Menggunakan Cip Grafik RDNA 3.5 Sehingga 2029, RDNA 5 Untuk Cip Kelas Premium
Nazrin
Platform grafik AMD Radeon kini menggunakan cip grafik RDNA 4 untuk komponen kelas desktop, tetapi kebanyakan cip pemprosesan komputer riba mereka masih menggunakan cip grafik RDNA 3.5 untuk keseimbangan prestasi, penggunaan kuasa dan juga harga yang lebih mampu milik.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa walaupun AMD sedang berada dalam proses untuk membangunkan teknologi grafik RDNA 5 mereka yang seterusnya, untuk kebanyakan model cip pemprosesan akan datang, khususnya APU kelas pertengahan dan mampu milik, AMD akan kekal menggunakan cip pemprosesan grafik RDNA 3.5 mereka sedia ada untuk beberapa tahun akan datang, sekurang-kurangnya sehingga 2029.
Diantara contoh cip pemprosesan AMD yang menggunakan cip grafik RDNA 3.5 termasuklah AMD Ryzen Z2 Extreme yang menguasakan beberapa konsol permainan PC mudah-alih popular seperti ASUS ROG Xbox Ally X dan Lenovo Legion Go 2, cip pemprosesan AMD Ryzen Strix Halo dan juga Strix Point.
Untuk pengenalan produk masa hadapan, cip pemprosesan grafik RDNA 5 nampaknya hanya akan digunakan pada produk-produk kelas premium, walaupun buat masa ini kita tidak tahu apakah maksudnya selain daripada ia akan digunakan dalam kad grafik kelas desktop mereka.
Jangkaan ramai ialah cip pemprosesan grafik AMD RDNA 5 ini akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2027. Tahun ini, AMD dilihat akan memperkenalkan kemaskini kepada teknologi sedia ada mereka, dan kekal dengan penggunaan cip RDNA 3.5 untuk cip-cip pemprosesan APU mereka.






