Airbus Menguji Robot Walker S2 Yang Boleh Menukar Sendiri Bateri
Effi Saharudin
Syarikat aeroangkasa terkemuka Eropah, Airbus menjadi sebuah lagi firma yang akan menguji robot Walker S2 keluaran UBTech. Robot ini tular tahun lalu kerana ia mampu menukar sendiri pek bateri apabila diperlukan tanpa campur tahan manusia. Ujian ini dilakukan bagi melihat sejauh manakah keberkesanan robot humanoid di lantai kilang memasang kapal terbang milik Airbus.

Ini adalah satu lagi kejayaan UBTech selepas Texas Instrument, BYD dan Foxconn turut menggunakan Walker S2 di kilang mereka. UBTech yang berpangkalan di Shenzhen ingin menjadi kuasa besar dalam dunia robot humanoid. Setiap Walker S2 setinggi 1.76 meter boleh mengangkat berat sehingga 15 kilogram dan menukar bateri sendiri dalam masa beberapa minit untuk bekerja tanpa henti.
Selain UBTech, Tesla Optimus dan Boston Dynamics Atlas adalah dua lagi robot humanoid yang dibangunkan untuk bekerja di lantai kilang. Optimus masih di peringkat awal tanpa sebarang pelanggan komersial. Atlas pula digunakan Hyundai di kilang mereka dan melakukan kerjasama dengan Google DeepMind bagi membangunkan teknologi AI menerusi model dunia.





