Malaysia Oversight

Acer Predator Helios 18 AI Memperlihatkan Gandingan Gaming Paling Berkuasa Dalam Sebuah Komputer Riba

By Amanz in May 30, 2026 – Reading time 2 minute
Acer Predator Helios 18 AI Memperlihatkan Gandingan Gaming Paling Berkuasa Dalam Sebuah Komputer Riba


Bersempena dengan acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan, jenama perkomputeran terkemuka Acer telah memperlihatkan penawaran komputer riba gaming paling berkuasa mereka setakat ini melalui Acer Predator Helios 18 AI.

Dibina khusus untuk penggemar gaming dan pesaing eSukan yang memerlukan prestasi tertinggi, ia berupaya untuk menyediakan kuasa tahap komputer destkop dalam reka bentuk komputer riba. Predator Helios 18 AI tampil dengan gandingan pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 290HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 untuk prestasi grafik dan juga AI yang unggul.

Selain daripada gabungan cip pemprosesan dan kad grafik berkuasa, komputer riba ini juga menyokong jumlah memori dan storan yang sangat besar, sehingga 256GB memori DDR5 dan 6TB storan SSD PCIe 4.0. Dari segi penawaran paparan pula, Predator Helios 18 AI merumahkan paparan skrin panel Mini LED pada saiz 18 inci dengan resolusi WQUXGA (3840 x 2400) dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1000 nits dalam mod HDR.

Predator Helios 18 AI Valour ARX PH18 i71 Lifestyle 02

Satu kelebihan paparan Mini LED ini ialah ia hadir dengan ciri Dual Mode, yang mana pada resolusi 4K, ia hadir dengan kadar segar semula setinggi 120Hz, manakala pada resolusi Full HD pula, kadar segar semula paparan ini boleh ditingkatkan sehingga 240Hz.

Menyejukkan komponen-komponen CPU dan GPU pada komputer riba ini ialah dua buah kipas penyejukan Aeroblade 3D Gen6 yang hadir dengan 100 bilah kipas dengan ketebalan 0.05mm. Digabungkan dengan bongkah penyejukan baru dan juga penggunaan cecair logam untuk mengalirkan haba daripada komponen secara lebih cekap, Acer mengatakan bahawa sistem penyejukan ini dapat mengalirkan 20 peratus udara sejuk secara lebih cekap berbanding dengan kipas penyejukan plastik pada jenama lain.

PREDATOR HELIOS 18 AI PH18 i71 02

Dari segi palam I/O, Predator Helios 18 AI hadir dengan dua palam Thunderbolt 5 yang terbaru dan palam HDMI 2.1, pembaca kad SD dan menyokong sambungan internet nirwayar WiFi7 dan berwayar RJ-45 untuk sambungan internet yang sesuai dengan keperluan pengguna.

Acer mengatakan bahawa komputer riba ini akan mula diperkenalkan di Amerika Utara pada Ogos 2026, di rantau EMEA pada Ogos 2026 dan di Australia pada suku keempat 2026 pada harga yang akan ditetapkan kelak.



Source link