Acer ialah sebuah syarikat teknologi dari Taiwan yang cukup terkenal untuk produk-produk perkomputeran mereka, dan telah memasuki sektor perkakasan elektrik untuk pengguna dan pelbagai jenis sektor berbeza, seperti perubatan, pengilangan dan IoT.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Acer dan Esquarre Vision Limited akan membuat pelaburan kedalam sebuah syarikat Jepun, OPTOELECTRONICS Co. Ltd. (Opticon) yang dikenali untuk teknologi AIDC ataupun Automatic Identification and Data Capture.

Acer dan Esquarre Vision Limited dilaporkan akan melaburkan sebanyak 1,589,419,104 yen dan 819,000,000 yen, memberikan syarikat-syarikat ini pegangan saham sebanyak 38 peratus dan 20 peratus masing-masing terhadapnya. Pelaburan ini dijangka akan dilengkapkan pada awal tahun 2026, dan adalah sebahagian daripada pelan Opticon juga untuk melebarkan sayap mereka ke pasaran-pasaran baru.
Opticon ialah sebuah syarikat teknologi yang dikenali untuk membangunkan komponen dan perkakasan imbasan digital seperti pengimbas kod bar, komputer mudah-alih, pencetak rak dan sebagainya. Dengan pengambil-alihan ini, ia dijangka bahawa Acer mahu memperluaskan lagi kepakaran mereka dalam industri AIoT bersama-sama dengan Esquarre Vision, yang juga dikenali untuk penawaran teknologi AIoT dalam segmen B2B.





