5 Ramalan Teknologi 2026
Penulis Tamu
Sehari sahaja lagi sebelum kita memasuki tahun 2026. Selepas melakukan rangkuman berita-berita teknologi terbesar 2025, tiba masanya untuk melakukan ramalan tahun 2026. Kami bukan nujum dan tidak pula mempunyai bebola kaca yang besar untuk melihat masa depan maka izinkan kami melakukan lima ramalan teknologi yang akan berlaku dalam tempoh 12 bulan daripada sekarang.
1.Semua Peranti Menjadi Lebih Mahal

Ini bukan ramalan Nostradamus, Mystic Meg atau Pak Belalang. Adalah KEPASTIAN harga jualan semua peranti pintar pada tahun 2026 akan menjadi lebih mahal berbanding tahun ini. Sekali lagi diacungkan jari tengah ke arah pusat data AI yang memerlukan cip memori dalam jumlah yang tinggi. Sudah dapat dilihat peranti Redmi global dijual dengan memori asas 8GB RAM sedangkan model sebelum ini ditawarkan dengan 12GB RAM.
Komputer riba dan telefon asas juga akan ditawarkan dengan memori rendah serta storan lebih kecil. Bersedialah untuk dilabel sebagai seorang bangsawan sekiranya anda mampu membeli sebuah PC untuk tujuan gaming. Micron sudah ditamatkan sementara NVIDIA dilaporkan mengurangkan pengeluaran kad grafik sehingga 40% bagi memenuhi keperluan cip kecerdasan buatan. Tahun 2026 semua orang akan akhirnya melihat impak jangka pendek perang AI di peringkat global dan bukan setakat insan yang duduk berhampiran pusat data.
2.Era Cermin Mata Pintar

Tahun 2026 kami ramalkan bakal menjadi tahun cermin mata pintar. Google mengesahkan cermin pintar Android XR pertama akan dikeluarkan tahun ini menerusi Samsung dan Gentle Monster. Meta membuktikan wujud pasaran untuk cermin mata pintar yang dikawal sepenuhnya dengan arahan suara. Apabila Google mula memasuki pasaran, pengeluar lain diberikan visa untuk turut datang bersama.
Dua versi cermin mata pintar akan ditawarkan. Satu sama seperti Ray-Ban Meta yang dilengkapi kamera tetapi tanpa skrin. Satu lagi ialah cermin mata dengan skrin terbina seperti demo yang diperlihat oleh Google beberapa kali sejak lapan bulan yang lalu. Apple mungkin akan turut memperlihatkan versi mereka sendiri tetapi belum sedia untuk dijual. Selepas Google Glass gagal beberapa tahun lalu, versi terkini dengan Android XR serta Gemini akan kembali merealisasikan impian asal Larry Page.
3.Era Ejen AI

Tahun 2022 ialah tahun chatbot diikuti pula oleh 2023 dengan AI generatif menjana gambar kemudian 2024 pula menjana AI generatif menjana video sebelum 2025 menjadi tahun ia mengambil alih tugas menulis kod pada skala besar. Tahun 2026 mengikut ramalan kami akan menjadi tahu ejen AI mengambil alih bukan sahaja kerja manusia pada skala industri tetapi juga akan melenyapkan beberapa laman web. Meta baru sahaja mengambil alih firma ejen AI Manus hari ini dengan ia akan segera diintegrasikan ke dalam ekosistem Meta.
Dua minggu lalu OpenAI, Anthropic, dan Block telah bekerjasama menubuhkan Yayasan AI Ejentik (Agentic AI Foundation) yang menyeramkan standard ejen AI bagi membolehkan ia berinteraksi antara satu sama lain. Dalam masa terdekat membeli tiket kapal terbang ialah semudah memberikan arahan “beli tidak kapal terbang untuk urusan kerja minggu depan”.
Ejen AI akan membaca kalender dan tahu tarikh perlu terbang dan destinasi. Ia mengingati anda gemar menaiki syarikat penerbangan A dan mula berborak dengan ejen AI syarikat A untuk membeli tiket. Maklumat perbankan sudah disimpan dan tiket akan dibeli sebelum dihantar ke aplikasi Wallet dan emel pengesahan ke inbox. Pada waktu yang sama ejen AI melakukan tempahan hotel di destinasi. Kesemuanya dilakukan tanpa anda perlu mengangkat sebatang jari.
4.Bateri Besar Menjadi Lazim

Tahun ini bateri sebesar 6000-8000 mAh diperkenalkan dengan ia membolehkan peranti pintar berfungsi sehingga sehari sebelum perlu dicas semula. Honor sudah melancarkan telefon nipis dengan bateri 10,000 mAh menerusi Honor Win dan bulan depan dengan Honor Power 2. Teknologi bateri dari China membolehkan kapasiti tinggi dimasukkan ke dalam bateri bersaiz nipis dan ia menyokong pengecasan pantas.
Era penggunaan powerbank mungkin mula berakhir tahun depan. Pengeluar dari China akan menawarkan peranti dengan bateri besar di Malaysia dalam masa terdekat. Tidak ada alasan untuk syarikat tertentu kekal menawarkan peranti dengan bateri kecil yang dikitar semula sejak tiga tahun lalu. Mereka perlu mengikuti kehendak pasaran dan pembeli mahukan peranti dengan bateri besar tahan lama dengan segera.
5.Makin Banyak Gimik Kamera Baharu Telefon Pintar

Gimik tahun ini ialah telefon pintar dipadankan dengan kit lensa zum tambahan seperti disokong Oppo Find X9 dan Vivi X300. Kerjasama dengan syarikat fotografi akan dipertingkatkan kerana perbezaan kualiti kamera model tahun ini dengan tahun lalu semakin ketara.
Kami ramalkan gimik baharu akan menjadi pertaruhan syarikat pengeluar telefon untuk memberikan kelainan dengan pesaing. Huawei dengan dua lensa telefoto dipadankan dengan satu sensor. Xiaomi 17 Ultra Leica Edition menjadi yang pertama dilengkapi cincin zum terbina pada bonggol untuk melakukan zum manual yang lebih natural jika dibandingkan dengan butang sisi pada iPhone, Honor dan Oppo.






