Dua hari lalu kami terbitkan senarai 10 perkhidmatan dan perkakasan yang ditamatkan pada tahun 2025. Hari ini tiba pula giliran senarai 10 tokoh sains dan teknologi yang telah meninggal dunia tahun 2025.

1. Dr Jane Goodall – Ahli Primatologi Terkemuka (1934-2025)

Jane Goodall tokoh pemeliharaan alam dan ahli primatologi terkemuka, telah meninggal dunia pada usia 91 tahun di California Oktober lalu. Goodall bertanggungjawab meningkatkan pemahaman sains mengenai cimpanzi menerusi pendekatan tinggal bersama haiwan yang sedang dikaji.
Semasa menggunakan teknik kajian ini dalam dekad 1960an di Tanzania, Goodall dikecam ahli saintis lain yang selama ini hanya melakukan pemantauan dari jarak jauh. Dengan hidup dalam kalangan cimpanzi, Goodall mendapati beruk boleh menunjukkan emosi, mempunyai personaliti tersendiri dan menggunakan alat untuk melakukan tugasan seperti manusia.
Penemuan cimpanzi menggunakan alat adalah antara yang terbesar kerana selama ini hanya manusia dipercayai mempunyai kemampuan ini. Beliau juga melakukan penemuan cimpanzi mampu merasa sedih disebabkan kematian ahli keluarga seperti manusia.
Selain meningkatkan pemahaman mengenai primat, mendiang juga menjadi aktivis mengenai perubahan iklim. Sejak 1970an hingga ke akhir hayat, Goodall menghasilkan puluhan dokumentari mengenai primat dan bagaimana pembangunan memusnahkan habitat mereka.
2. Udo Kier – Pelakon Red Alert 2 (1944-2025)

Udo Kier, pelakon tahap kultus yang membintangi siri permainan video Command & Conquer : Red Alert 2 dan Call of Duty WWII meninggal dunia semalam pada usia 81 tahun. Kier membintangi lebih 275 filem, siri TV dan permainan video dalam kerjaya yang bermula pada tahun 1966. Sebab kematian beliau belum lagi diumumkan.
Dalam kalangan peminat siri Command and Conquer, Kier cukup dikenali kerana memegang watak antagonis Yuri yang menggunakan kuasa kawalan otak untuk mengalahkan musuh. Selain Red Alert 2, beliau juga menjadi watak utama dalam DLC Command & Conquer : Yuri’s Revenge. Sementara itu beliau meminjamkan suara kepada watak Dr Peter Straub dalam Call of Duty WWII .
Walaupun telah meninggal dunia, Kier masih mempunyai 7 projek dalam pembikinan termasuk permainan video OD oleh Hideo Kojima. Di X, Kojima menyatakan beliau terkilan dengan berita kematian ini kerana fasa rakaman lakonan masih belum dilakukan untuk watak Kier. OD dinantikan peminat Kojima kerana ia dipercayai adalah pembangunan semula permainan P.T yang dibatalkan selepas beliau meninggalkan Konami.
3. Drew Struzan – Bapa Poster Filem Sains Fiksyen dan Fantasi (1947-2025)

Di era Renaissance kita mempunyai Leonardo da Vinci, Raphael dan Michaelangelo yang terkenal dengan karya agung Mona Lisa dan bumbung Sistine Chapel. Di dunia moden, pelukis mungkin tidak begitu popular tetapi saya yakin ramai pernah melihat karya yang dihasilkan oleh Drew Struzan. Beliau menghasilkan poster filem Star Wars, Back to The Future, Jurassic Park, Blade Runner, The Thing, Harry Potter, Indiana Jones dan E.T the Extra Terrestrial sehingga menerima jolokan bapa poster sains fiksyen dan fantasi.
Struzan meninggal dunia pada usia 78 tahun, 13 Oktober lalu disebabkan penyakit Alzheimer yang dihidapi beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau hanya didedahkan menghidap penyakit yang tidak boleh dirawat ini pada Mac lalu selepas ia menyebabkan Struzan tidak lagi boleh berkarya.
Sepanjang kerjaya selama lima dekad, Struzan menghasilkan lebih 150 poster filem dengan karya terakhir yang dihasilkan ialah untuk trilogi How to Train Your Dragon pada tahun 2019.
Gaya rekaan poster beliau yang realistik, dinamik dan sinematik menjadi ikutan bukan sahaja dalam kalangan pereka poster filem lain tetapi juga ratusan pelukis komik yang mengatakan poster yang dihasilkan menjadi inspirasi semasa membesar.
Beliau menghasilkan poster menggunakan teknik catan dan berus angin sehingga ke akhir hayat walaupun dunia sudah berpindah ke dunia digital. Walaupun lebih dikenali sebagai pelukis poster filem nombor satu Hollywood, mendiang memulakan kerjaya sebagai pelukis album muzik untuk artis seperti Bee Gees, Black Sabbath, Earth, Wind & Fire, dan Alice Cooper.
4. Shunsaku Tamiya – Pengerusi Tamiya (1934- 2025)

Pengerusi syarikat Tamiya, Shunsaku Tamiya meninggal dunia pada 18 Julai yang lalu dengan sebab kematian mendiang pada usia 90 tahun tidak pula didedahkan keluarga.
Shunsaku Tamiya ialah anak kepada pengasas syarikat Yoshio Tamiya. Beliau dilahirkan pada tahun 1934 dan menyertai syarikat keluarga pada tahu 1958. Syarikat Tamiya Shoji & Co ditubuhkan pada tahun 1946 dengan ia merupakan kilang papan yang membekalkan kayu. Ia kemudiannya mula menghasilkan model kayu untuk kanak-kanak Jepun selepas tamatnya Perang Dunia Pertama.
Jualan model kayu mula susut dalam dekad 1950an. Ini memaksa Tamiya untuk menghasilkan model plastik yang kini sinonim dengan jenama mereka pada tahun 1959. Model plastik pertama yang dikeluarkan ialah kapal perang Yamato dengan Shunsaku Tamiya meminta adik beliau Masao Tamiya untuk menghasilkan logo dua bintang yang digunakan sehingga sekarang. Bintang merah melambangkan kreativiti dan semangat sementara bintang biru melambangkan keikhlasan dan keremajaan.
Shunsaku Tamiya terlibat secara langsung dalam penghasilan model-model plastik awal yang dikeluarkan syarikat. Sebagai contoh untuk menghasilkan model kereta kebal pertama, Tamiya akan melawat sendiri muzium untuk melihat setiap perincian pada senjata sebenar.
Sumbangan terbesar beliau ialah mempopularkan hobi kereta mini pacuan empat roda dan kereta kawalan jauh (RC). Jika anda seperti saya yang membesar dalam dekad 80an dan 90an, kereta mini ini dikenali dengan nama panggilan “kereta Tamiya” walaupun terdapat syarikat lain yang mengeluarkannya seperti Auldey dan Takara. Hujung minggu dipenuhi dengan aktiviti berlumba dengan peminat-peminat kereta Tamiya lain. Bagi individu berusia 40an dan 50an sekarang, kereta Tamiya pastinya adalah EV pertama dimiliki mereka.
5. Michael Madsen – Pelakon Suara GTA III dan Reservoir Dogs (1957-2025)

Michael Madsen, pelakon terkemuka dalam filem Reservoir Dogs, Kill Bill, Sin City dan Donnie Brasco meninggal dunia di bulan Julai pada usia 67 tahun. Madsen juga pernah meminjam suara untuk permainan video Grand Theft Auto III, Dishonored dan juga kembali melakonkan watak Mr Blonde untuk permainan adaptasi Reservoir Dogs.
Madsen ditemukan dalam keadaan tidak sedar diri di rumah beliau yang terletak di Malibu, California. Apabila ambulans tiba, beliau disahkan telahpun meninggal dunia dengan polis mengatakan mereka tidak mengesyaki terdapat sebarang elemen jenayah. Dalam kenyataan berasingan, pengurus Madsen berkata kematian adalah disebabkan oleh serangan jantung.
Sepanjang kerjaya 43 tahun, Madsen berlakon dalam 328 produksi filem, siri TV dan permainan video. Beliau mula dikenali ramai selepas memegang watak ikonik Mr Blonde dalam filem Reservoir Dogs arahan Quentin Tarantino.
Dalam dunia permainan video Madsen meminjam suara kepada watak Toni Cipriani dalam Grand Theft Auto 3, Daud dalam siri Dishonored, Shimano dalam Yakuza dan Travis Baker dalam Crime Boss : Rockay City.
6. Bill Atkinson Meninggal Dunia – Pereka GUI Macintosh, Pencipta Dwi-Klik dan Palang Menu (1951-2025)

Bill Atkinson, jurutera perisian yang terlibat dalam menghasilkan GUI untuk komputer Apple Lisa dan Apple Macintosh meninggal dunia pada usia 74 tahun disebabkan oleh kanser pankreas pada khamis lalu. Kematian beliau diumumkan oleh ahli keluarga menerusi laman Facebook hari ini.
Selain terlibat dalam pembangunan sistem operasi awal di Apple, beliau juga pencipta palang menu (menu bar), menu yang boleh ditarik ke bawah, dan dwi-klik menggunakan tetikus yang masih digunakan pada sistem operasi dan perisian moden. Perisian HyperCard yang turut dibangunkan Atkinson pula menjadi platform pembangunan perisian, kandungan interaktif, permainan video dan slaid sebelum Powerpoint dicipta oleh Dennis Austin.
Mendiang merupakan kakitangan Apple yang ke-51 sebelum mengembangkan sayap menubuhkan General Magic bersama Andy Hertzfeld dan Marc Porat. Di General Magic, sistem operasi Magic Cap dibangunkan dengan ia digunakan pada Sony Magic Link yang gagal.
Cukup gagal sehingga ramai tidak mengingati kewujudannya walaupun ia antara peranti mudah alih terawal menggabungkan sambungan internet, skrin sesentuh, ciri pemesejan, mesin faks dan telefon sehingga dianggap sebagai proto-telefon pintar yang digunakan sekarang.
Kegagalan Magic Link menyebabkan syarikat gulung tikar dengan dua bekas kakitangannya Tony Fadell dan Andy Rubin kemudiannya mencipta iPod dan Android. Oleh sebab itu General Magic walaupun gagal dianggap sebagai Fairchild Semiconductor untuk dekad 90an.
7. David Cope – Bapa Muzik AI (1941-2025)

Bapa Muzik Ai ialah gelaran yang diberikan kepada David Cope dengan pelopor penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan muzik. Beliau meninggal dunia pada Mei lalu di usia 83 tahun kerana kegagalan jantung kongestif.
Ramai mungkin menyangka AI generatif menghasilkan muzik ialah ciptaan baharu. Hakikatnya adalah sebaliknya kerana mendiang Cope menghasilkan AI muzik pertama yang diberi nama Experiments in Musical Intelligence (EMI). EMI dibangunkan selepas Cope menghadapi masalah idea menulis sebuah sebuah opera di awal 1980an. Algoritma EMI dilatih menggunakan data karya tulis beliau sendiri kerana sebelum terjebak dalam dunia perkomputeran, beliau adalah seorang ahli muzik.
Proses menghasilkan EMI mengambil masa 8 tahun dengan ia kemudiannya menyiapkan karya opera yang menjadi penyebab ia wujud dalam masa hanya dua hari. EMI kemudiannya dilatih menggunakan karya Bach, Bartok, Brahms, Chopin, Gershwin, Joplin, Mozart, dan Prokoviev. Muzik baharu yang dihasilkan EMI meniru semula gaya komposer dan artis terkemuka ini.
Satu perbezaan EMI dengan AI generatif audio seperti Suno ialah, ia menghasilkan karya muzik dalam bentuk penulisan lembaran muzik yang kemudiannya perlu dimainkan oleh manusia untuk didengari dan bukan perisian yang memuntahkan muzik terus selepas prom dimasukkan.
8. George Elwood Smith – Pencipta Sensor CCD (1930-2025)

Setiap telefon di tangan anda sekarang mempunyai kesan penglibatan George Elwood Smith yang meninggal dunia pada Mei di usia 95 tahun. Beliau bersama dengan William Boyle adalah pencipta bersama Charge Coupled Device (CCD) pada tahun 1959 ketika bertugas di Bell Labs yang kini merupakan komponen utama sensor kamera digital.
CCD ialah semikonduktor yang mengubah maklumat cahaya menjadi isyarat elektronik yang kemudiannya disimpan sebagai gambar. Ia menjadi sensor awal digunakan pada kamera gambar dan juga kamera video digital. Kekurangan CCD ialah ia tidak berfungsi baik dalam situasi pencahayaan rendah juga apabila terdapat sumber cahaya yang terang. Ini menjurus kepada penciptaan sensor CMOS yang kini digunakan secara meluas.
Atas sumbangan dalam mencipta teknologi CCD, George E. Smith bersama Willard S. Boyle dan Charles K. Kao dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik pada tahun 2009.
9. James Watson – Penemu Struktur Helix Ganda Dua DNA (1928–2025)

James Watson, pemenang Hadiah Nobel yang bertanggungjawab menemukan struktur helix ganda dua DNA bersama dengan Francis Crick meninggal dunia pada 6 November lalu pada usia 96 tahun.
Penemuan pada tahun 1953 di Universiti Cambridge dilakukan menggunakan data sinar-X daripada Rosalind Franklin, mereka mendedahkan dunia kepada dunia struktur heliks ganda dua DNA buat pertama kali. Ia bukan sahaja menjawab persoalan bagaimana ciri-ciri fizikal diwarisi dari ibu bapa kepada anak, malah menjadi batu asas kepada revolusi bioteknologi yang kita nikmati hari ini.
Tanpa sumbangan Watson dan Crick, dunia mungkin lambat memahami pemetaan genom manusia, teknologi suntingan gen CRISPR, dan menegakkan keadilan di mahkamah menerusi teknologi forensik.
Walaupun sumbangan Watson adalah besar kepada dunia sains, kehidupan beliau terpalit dengan kontroversi kerana pendapat beliau yang seksi, rasis dan beliau adalah antara penyokong teori eugenik bahawa kepandaian seseorang berkait rapat dengan kaum dengan orang kulit putih mempunyai IQ lebih tinggi. Ini anda sebab mengapa selepas beliau meninggal dunia, tidak banyak eulogi ditulis mengenai mendiang.
10. Han Jong-hee – CEO Samsung Electronic (1962-2025)

CEO bersama Samsung Electronics Han Jong-hee meninggal dunia Mac lalu pada usia 63 tahun disebabkan oleh serangan jantung. Beliau bertanggungjawab menerajui perniagaan peranti mudah alih dan juga peralatan elektronik di Samsung Electronics.
Beliau telah bersama Samsung sejak 1988 dengan penglibatan paling lama dalam perniagaan televisyen dan di bawah kepimpinan beliau, Samsung berjaya menjadi jenama TV nombor satu dunia selama 18 tahun berturut-turut.
Kematian Han adalah mengejutkan kerana beliau baru sahaja dilantik menjadi CEO bersama Samsung Electronics November tahun lalu. Ia juga berlaku ketika Samsung sedang mengalami pelbagai isu khususnya dalam pengurangan jualan telefon pintar serta persaingan yang semakin sengit dalam pasaran peranti elektronik.






