Apple iPhone 17, iPhone Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max telah dilancarkan awal pagi Rabu lalu dengan terdapat banyak reaksi positif mengenai perubahan rekaan, spesifikasi lebih berkuasa, kamera dipertingkat dan sokongan pengecasan lebih pantas.

Tetapi tidak semua yang diumumkan adalah menarik dan ada juga yang membuatkan pengguna bingung. Dengan pratempahan keempat-empat model dibuka hari ini, mungkin anda perlu tahu apakah kekurangan yang sebelum mempertimbangkan untuk membeli siri iPhone 17 tahun ini.
1.Tiada Sebarang Ciri Baharu Apple Intelligence

Majoriti ciri-ciri paling menarik seperti Siri yang lebih pintar dan sokongan ChatGPT yang dijanjikan tahun lalu untuk siri iPhone 16 tidak tiba seperti dijanjikan. Pembangunan Apple Intelligence yang bermasalah membuatkan Apple terpaksa memadam iklan yang memaparkan ciri-ciri ini daripada YouTube.
Akibatnya tahun ini tiada ciri baharu yang benar-benar memberikan faktor wow sehingga peranti perlu dibeli. Ciri alih bahasa nyata Live Translation masih terhad kepada Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Portugis dan Sepanyol sahaja. Pada Android ciri sama boleh menyokong lebih banyak bahasa seperti Bahasa Indonesia sejak lebih setahun lalu. Apple Intelligence bukan sahaja tertunda dan yang dijanjikan belum tiba malahan yang ditawarkan pula di belakang kemampuan pesaing.
2. iPhone Air Sekadar Dilengkapi Satu Kamera

iPhone Air sekadar dilengkapi satu kamera sama seperti iPhone 16e dan iPhone SE. Pada iPhone 16e dan SE ia mungkin boleh dimaafkan kerana peranti dijual pada harga bermula RM2999. Tetapi iPhone Air dijual pada harga bermula RM4999 dan sukar memberikan justifikasi penggunaan mono kamera pada peranti mercu berharga premium.
Saya masih ingat selepas Galaxy S25 Edge dilancarkan awal tahun ini, Samsung dikecam kerana ia sekadar dilengkapi dwi-kamera 200+12 MP yang tidak sebaik peranti siri Galaxy S25 yang lain. Jika Samsung boleh buat mengapa Apple tidak boleh buat sedangkan mereka ialah syarikat yang mempunyai reputasi memperkenalkan pelbagai inovasi.
3. iPhone Air Mempunyai Speaker Mono

Bukan setakat hanya satu kamera, speaker iPhone Air juga mono. Sekali lagi saya ulangkan di sini iPhone Air dijual pada harga bermula RM499 dan meningkat ke RM6999 sebuah. Bayangkan peranti hampir RM7000 tetapi sistem audio hanya mempunyai speaker mono di bahagian atas. Untuk audio stereo dan spatial, pemilik perlu membeli fon kepala seperti AirPods.
Pada peranti Android, speaker mono hanya boleh dimaafkan pada peranti kelas pertengahan. Mungkin peminta Apple lebih kudus dan berhusnuzon speaker mono iPhone Air ialah yang terhebat di seluruh bima sakti. Sama seperti mereka husnuzon 4GB RAM mencukupi, pengecasan 15W adalah pantas dan skrin LCD 60Hz adalah setanding OLED 120Hz beberapa tahun lalu.
4. Bateri iPhone Air Terlalu Kecil

Kapasiti bateri iPhone Air pula ialah 3149 mAh yang jauh lebih kecil berbanding iPhone 17 (3692 mAh), iPhone 17 Pro (3988 mAh) dan iPhone 17 Pro Max (4823 mAh). Untung mengelakkan isu bateri tidak bertahan sepanjang hari, Apple menjual pek bateri MagSafe 3000 mAh hanya untuk iPhone Air yang dijual pada harga RM479 sebuah. Ini akan membuatkan tubuh iPhone Air kembali tebal.
Apple masih belum menggunakan bateri SiC yang membolehkan kapasiti besar dicapai dalam bateri bersaiz kecil. Mungkin tahun depan dengan teknologi SiC semakin matang, isu nipis tetapi kapasiti kecil tidak akan berulang lagi.
5. iPhone Air Hanya Menyokong eSIM

Apakah yang dikorbankan bagi mendapatkan tubuh iPhone Air yang langsing? Selain hanya satu kamera, speaker mono dan bateri kecil, talam SIM fizikal juga dihantar kembali ke sang pencipta. iPhone Air ialah iPhone pertama ditawarkan di semua pasaran tanpa sokongan SIM fizikal dengan ia hanya menyokong dua eSIM. Bagi yang sudah menggunakan eSIM ini bukan masalah besar tetapi jika anda masih belum move on daripada SIM fizikal, iPhone Air jelas bukan untuk anda.
6. iPhone 17 dan iPhone Air Sekadar Menyokong USB 2

Hanya iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max dilengkapi port USB-C dengan kelajuan USB-3. USB-3 menyokong pemindahan data sehingga 10 GB/s membolehkan rakaman video terus ke SSD luaran. iPhone Air dan iPhone 7 masih menggunakan USB-2 yang menyokong pemindahan 480 MB/s yang perlahan. Pada iPhone 17 kami faham ini kerana ia model asas.
Tetapi iPhone Air ialah peranti dengan Apple A19 Pro dan harga jualan bermula RM4999 sebuah. Tiadanya sokongan USB-3 adalah mengecewakan kerana ciri merakam terus video ke SSD menerusi sambungan USB tidak boleh digunakan pada model ini.
7. Pengecasan iPhone 17 Air Lebih Perlahan

Tahun ini iPhone 17 dan iPhone 17 Pro menyokong pengecasan sehingga 60W yang jauh lebih baik berbanding sekitar 25W sahaja tahun lepas. Ini ialah kuasa pengecasan puncak yang dicapai seketika sahaja membolehkan bateri dicaj sehingga 50% dalam masa serendah 20 minit. Pada iPhone Air, bateri 3149 mAh mengambil masa 30 minit untuk dicas ke 50%. Sudahlah bateri kecil, pengecasan pula tidak pantas. Ini ialah kombinasi yang tidak membanggakan.
8. Tiada Lagi Tubuh Titanium

Dua tahun lalu Apple memulakan semula trend menggunakan tubuh titanium yang dipelopori oleh Essential Phone lapan tahun yang lalu. Pengguna diberitahu titanium ialah bahan yang paling tahan lasak, premium dan ringan.
Langkah Apple kemudian ditiru Samsung, Huawei dan Xiaomi. Bahan ini memang premium dan sedap di dalam tangan. Tahun ini kepentingan diberikan kepada sistem penyejukan baharu dan semua model iPhone 17 Pro kembali dengan tubuh aluminium yang berfungsi sebagai sinki haba.
9. Camera Control Seperti Dilupakan

Camera Control diperkenalkan tahun lalu bagi membolehkan pelbagai ciri aplikasi kamera dikawal menggunakan butang fizikal pada sisi kanan siri iPhone 16. Semasa dilancarkan ciri yang boleh digunakan adalah terhad dan harus saya katakan tidak begitu lancar kerana ia adalah ciri baharu. Oleh sebab itu saya jarang sekali bertemu pemilik iPhone 16 yang mengaku menggunakan Camera Control.
Pada siri iPhone 17 tiada ciri baharu atau penambahbaikan diumumkan. Ia masih ciri yang dipinjam daripada Sony Xperia yang semakin dilupakan. Terdapat ramalan dengan tubuh peranti semakin nipis di masa hadapan, Camera Control mungkin akan dikorbankan seperti 3D Touch.
10. Tiada Semua Ciri Disokong Di Malaysia

Saya mengkritik Google kerana beberapa ciri Pixel seperti pengesanan kemalangan dan Assistant menjawab telefon masih eksklusif hanya di Amerika Syarikat. Maka adalah adil juga untuk menegur Apple yang melakukan perkara yang sama. Ciri Emergency SOS dan Road Side Assistance yang menggunakan sistem satelit masih hanya boleh dinikmati pengguna di Amerika Utara, Eropah Barat, Jepun dan Australasia sahaja ketika artikel ditulis.
Dengan ciri satelit hanya diberikan percuma selama dua tahun, nampak gayanya majoriti pembeli iPhone 17 tidak dapat menggunakan ciri yang menyelamatkan puluhan nyawa ini di Malaysia dalam masa terdekat. Penantian sejak iPhone 14 berterusan setahun lagi..
Ini ialah senarai 10 perkara paling mengecewakan siri iPhone 17 tahun ini. Dengan senarai 10 perkara menarik siri iPhone 17 yang diterbitkan semalam, saya berharap dapat membantu anda melakukan keputusan sama ada anda perlu melakukan pratempahan iPhone 17, iPhone 17 Pro, iPhone 17 Pro Max dan iPhone Air pada jam 8 malam ini.