Malaysia Oversight

10 Berita Teknologi Paling Aneh 2025

By Amanz in December 10, 2025 – Reading time 7 minute
10 Berita Teknologi Paling Aneh 2025


10 Berita Teknologi Paling Aneh 2025

December 10, 2025
Rangkuman

Effi Saharudin

Teknologi jarak dikaitkan dengan berita aneh tetapi kadang kala ia masih berlaku kerana penyalahgunaan, idea luar kotak dan situasi di luar jangkaan. Di bawah ialah 10 berita berkaitan teknologi paling aneh sepanjang 2025.

10 Perkara Aneh 2025

1.Lelaki UK Ingin Membeli Tapak Pelupusan Sampah Yang Mengandungi 8000 Bitcoin

pexels pixabay 315788

Apakah yang sanggup anda lakukan demi menjadi kaya sekelip mata? Bagi James Howells, beliau sanggup membeli tapak pelupusan sampah yang dipercayai menjadi kubur 8000 Bitcoin bernilai sekitar RM3 bilion hari ini. Sejak 2013, Howell yang tinggal di United Kindgom meminta kebenaran daripada Majlis Perbandaran Newport di Wales untuk mencari cakera keras yang mengandungi dompet digital Bitcoin beliau selepas ia dibuang secara tidak sengaja.

Cakera keras dimasukkan ke dalam beg plastik hitam yang kemudian dibuang oleh pasangan beliau yang menyangka ia adalah sampah. Beliau cuba mendapatkan kebenaran untuk mencari cakera keras ini telah dinafikan oleh majlis perbandaran dan mahkamah atas faktor keselamatan. Howells pernah berjanji akan memberikan 25% Bitcoin kepada majlis perbandaran jika dibenarkan mencari cakera keras yang hilang tetapi ditolak.

Selepas lebih sedekad, tempat pelupusan sampah ini akan ditutup tahun ini dan Howell dengan bantuan beberapa pelabur berminat untuk membeli tapak pelupusan apabila ditutup kelak. Percubaan mencari cakera keras ini agak mustahil kerana ia ditimbuni sampah dan tanah dengan isipadu 25,000 meter padu.


2.Pengeluaran Telefon Pintar Nokia Dihentikan

HMD Global Nokia

HMD Global adalah pemegang lesen mengeluarkan telefon pintar dengan jenama Nokia sejak 2016. Tetapi era telefon pintar Nokia nampaknya telah berakhir dengan laman HMD Global menyatakan pengeluaran telefon pintar seperti Nokia XR21 telahpun dihentikan pada Januari lalu.

Sejak dua tahun lalu, HMD Global telah memasarkan telefon pintar jenama sendiri dengan model HMD Fusion dijual di Malaysia pada bulan Oktober. Era telefon pintar Nokia sudahpun tamat tetapi telefon selular biasa Nokia masih lagi akan dikeluarkan untuk ke satu tarikh yang belum ditetapkan. HMD Global telahpun mengeluarkan telefon pintar mereka sendiri beberapa bulan lalu.

Pada Julai, Nokia dikatakan mencari rakan pengeluar baharu telefon pintar tetapi sehingga kini masih tidak berita baharu sama ada telefon pintar syarikat ini akan kembali ke pasaran.


3.Presiden Dihadiahkan Mesin Kelui Emas Bagi Memperingati Serangan Bom Israel

Mesin kelui Emas Israel Trump

Pada September tahun lalu, 12 orang terkorban sementara 2750 lagi tercedera di Lubnan apabila mesin kelui yang mengandungi bom diletupkan oleh Israel. Agensi risikan Israel Mossad adalah dalang di sebalik serangan besar-besaran ke atas anggota Hesbollah dengan kemudian serangan kuda pula dilakukan menggunakan walkie-talkie yang meragut 30 lagi nyawa.

Pada Februari, Presiden Donald dihadiahkan sebuah kelui emas oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagi memperingati serangan yang telah dilakukan. Hadiah diberikan sebagai tanda menghargai yang merupakan seorang rakan baik serta sekutu rapat Israel.

Ketika kali pertama menjadi presiden, Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang dilihat sebagai menyucikan tindakan Israel mencuri tanah milik Palestin. Dalam lawatan terkini Netanyahu ke Amerika Syarikat tahun ini, Trump mengatakan warga Palestin seharusnya meninggalkan Gaza bagi membenarkan Amerika Syarikat membangunkannya semula menjadi sebuah kawasan peranginan.


4.Mesin Basuh Manusia Boleh Dibeli Di Jepun Pada Harga RM1.59 Juta

Mesin Basuh Manusia Mirai Ningen Sentakki A

Mirai Ningen Sentakki yang bermaksud mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 2025 Osaka dengan ia dibangunkan oleh firma Science sebagai menyambut ulang tahun ke-55 prototaip mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 1970 Osaka. Di tapak expo, pelawat boleh mencuba mesin basuh manusia ini sekiranya berani.

Pada asalnya ia sekadar prototaip tetapi Science kini menawarkan Mirai Ningen Sentakki pada harga 60 juta Yen (~RM 1.59 juta) kepada pelanggan yang berminat dengan 60 unit sahaja akan dikeluarkan,.

Ia membasuh badan manusia dalam masa 5 minit sahaja dengan pengguna duduk dalam kedudukan berbaring. Di peringkat awal badan manusia akan direndam sebelum sistem pancuran dan semburan air sabun akan membersihkan kotoran di badan.

Semasa duduk di dalam pod pembersihan, pengguna akan ditayangkan video dan muzik yang menenangkan jiwa. Nadi akan dijejak oleh Mirai Ningen Sentakki untuk melihat tahap stres. Selepas kitaran membersih lengkap, air akan dikeluarkan daripada kebuk dan pengguna boleh keluar untuk mengeringkan badan.


5.Nepal Melantik Pemangku Perdana Menteri Menggunakan Discord

Discrod

Ogos lalu Nepal bergolak selepas rusuhan dilakukan rakyat bagi menentang korupsi di dalam pimpinan Perdana Menteri KP Sharma Oli. Nepal cuba menghalang penentangan rakyat dengan mengharamkan platform media sosial dan ia hanya mengakibatkan rusuhan yang dilabel sebagai Revolusi Gen-Z semakin menjadi-jadi dan KP Sharma Oli telah digulingkan.

Dengan wujudnya kekosongan pucuk pimpinan negara, Sushila Karki telahpun dilantik menjadi pemangku Perdana Menteri Nepal dengan undian dilakukan menggunakan Discord. Karki (73 tahun) adalah bekas ketua hakim Nepal dengan beliau turut menjadi wanita pertama menjadi PM negara tersebut dan ketua negara pertama dilantik menggunakan Discord.

Parlimen Nepal telahpun dibubarkan dengan pilihanraya umum akan diadakan pada 5 Mac 2026 bagi melantik PM kekal. Karki menjadi pilihan kerana semasa memegang jawatan ketua hakim negara beliau terlibat dengan beberapa kes anti korupsi dan juga menggulingkan pemerintahan monarki pada tahun 1990 di bawah pergerakan Revolusi Rakyat.

Pemilihan Sushila Karki sebagai pemangku PM Nepal adalah kali kedua teknologi moden mengubah landskap politik dunia. Awal minggu ini Albania melantik chatbot AI menjadi menteri bagi menentang korupsi kerana ia menganugerahkan kontrak kerajaan secara adil tanpa risau disogok atau diancam manusia.


6.Elon Musk Manusia Pertama Mempunyai Kekayaan $500 Bilion

000 8WA6DZ

Elon Musk menjadi individu pertama dunia yang mempunyai nilai kekayaan $500 bilion (~RM 2.1 trilion). Harta duniawi beliau mencecah angka setengah trilion pada Oktober selepas saham Tesla melonjak lebih 3% walaupun jualan EV syarikat tersebut terus susut di Eropah dan serta Amerika Syarikat menamatkan kredit pembelian EV.

Musk kini di trajektori positif untuk menjadi trilionwan pertama dengan lembaga pengarah Tesla ingin memberikan beliau lebih banyak pegangan saham dan ganjaran $1 trilion dalam tempoh 10 tahun sekiranya kekal sebagai CEO syarikat. Status beliau sebagai manusia terkaya dunia hanya dicabar selama beberapa jam oleh Larry Ellison, pengasas Oracle pada bulan September.


7.David Woodard Ialah Juara Masuk Bakul Angkat Sendiri Di Wikipedia

David Woodward
David Woodward – Wikipedia Commons

Wikipedia dilancarkan pada tahun 2001 oleh Jimmy Wales dan Larry Sanger sebagai ensiklopedia terbuka dan percuma. Setakat ini terdapat lebih daripada 65 juta artikel di Wikipedia dalam 343 bahasa. Secara teorinya, artikel Wikipedia yang mempunyai pelbagai versi bahasa ialah kayu pengukur kepentingan pengetahuan mengenainya untuk tamadun manusia.

Tetapi dalam laporan yang diterbitkan oleh The Signpost, mereka menemui usaha seorang individu yang cuba mempromosikan diri sendiri dengan artikel mengenai diri beliau diterbitkan dalam 335 bahasa di Wikipedia. David Woodard ialah seorang artis dari Amerika Syarikat, The Signpost mendapati adalah aneh insan yang tidak dikenali umum mempunyai artikel dalam banyak bahasa. Beliau mempunyai lebih banyak artikel di Wikipedia berbanding negara Turkiye (332 artikel) dan Michael Jackson (279).

Berdasarkan siasatan, artikel pertama mengenai Woodward muncul pada tahun 2015. Menerusi lebih 200 akaun dengan pelbagai IP berbeza, artikel mengenai beliau mula ditulis secara berperingkat sehinggalah mencecah 343 artikel. Secara purata sebuah artikel mengenai Woodward dalam bahasa baharu dihasilkan setiap 6 hari. Adalah dipercayai Woodward, atau insan yang rapat dengan beliau menggunakan Wikipedia untuk mempromosikan dan kepentingan diri sendiri.

Selepas usaha selama sedekad ini dikesan, editor Wikipedia untuk pelbagai bahasa mula memadam artikel mengenai Woodward. Pada ketika ini hanya 20 artikel mengenai beliau masih wujud di Wikipedia.


8.Starbucks Korea Haramkan Pelanggan Membawa Komputer Desktop dan Mesin Pencetak

Starbucks Korea Selatan Desktop Pencetak
Gambar – Korea Herald

Kedai kopi menjadi ruang pejabat yang sangat selesa kerana terdapat minuman boleh dipesan serta sumber kuasa dan WiFi percuma. Semasa mula bekerja di Amanz dahulu, Starbucks ialah lokasi pilihan dijadikan pejabat di luar rumah.

Di Korea Selatan, budaya cagongjok yang menjadikan kafe sebagai pejabat sudah wujud berdekad lamanya. Tetapi pada Ogos lalu, Starbucks Korea Selatan mula mengharamkan pelanggan membawa peralatan tertentu ke kafe milik mereka.

Notis amaran membawa komputer desktop, mesin pencetak, kabel palam kuasa dan penghadang peribadi kini diharamkan di kafe Starbucks Korea Selatan. Ini bagi menentang budaya cagongjok yang melampau sehingga pelanggan lain tidak mempunyai tempat duduk.

Pelanggan yang meninggalkan kafe untuk tempoh yang lama juga diminta membawa sekali barangan mereka. Di Korea Selatan jika barangan ditinggalkan di kafe atau ruang awam, ia biasanya tidak akan dicuri..


9.Lelaki Argentina Menerima Pampasan RM50,000 Selepas Gambar Punggung Ditangkap Google Street View

Google Street Viewe

Anda kini boleh mengembara ke zaman silam menggunakan Google Street view menerusi Google Maps dan Google Earth. Muncul pelbagai cerita pengguna mengakses Street View untuk melihat ahli keluarga yang telahpun meninggal dunia. Ini adalah cerita yang mampu membuatkan ninja memotong bawang apabila dibaca. Tetapi di Argentina, gambar yang diambil Google Street View menyebabkan kesipuan melampau sehingga menjadi bahan jenaka.

Pada tahun 2017, kamera Google Street View menangkap gambar punggung seorang lelaki yang sedang santai di dalam perkarangan rumah. Walaupun pagar setinggi 6.5 kaki dibina, kamera Street View mampu melihat ke dalam laman rumah beliau.

Gambar ini kemudiannya diterbitkan di Street View tanpa anatomi sensitif ini dikaburkan. Menurut lelaki yang identitinya dirahsiakan ini, beliau menjadi bahan ketawa kerana identiti beliau dapat diteka berdasarkan lokasi rumah di dalam peta. Selepas diheret ke mahkamah, Google kini perlu membayar pampasan $12,500 (~RM 51,000) kerana privasi beliau di dalam perkarangan rumah telah dilanggar.


10.Payung Khas Dibangunkan Untuk Jemaah Haji

Saudi Hajj Thell Umbrella Shadow Umbrella Haji A

Musim haji 2025 akan bermula 4 Jun depan dan antara cabaran menjadi tetamu Allah ialah menahan kepanasan bumi Arab Saudi. Pada musim haji 2024, 1301 jemaah meninggal dunia akibat kepanasan melampau menurut data  Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Penyelesaiannya ialah menggunakan payung tetapi bagi warga emas, mereka mungkin tiada kudrat untuk memegangnya sepanjang hari.

Oleh sebab itu sebuah payung khas untuk ibadah haji dan umrah telah dibangunkan sebuah firma Arab Saudi. Shadow Umbrella ini dipakai pada bahu jemaah dengan ia tidak menyentuh bahagian kepada bagi memberikan aliran udara. Ia direka untuk mempunyai rekaan ringan supaya tidak membebankan dan boleh dilipat kecil untuk dimasukkan ke dalam beg simpanan apabila tidak digunakan.

Pada asalnya payung ini dilancarkan pada tahun 2023 untuk kegunaan buruh dan anggota keselamatan yang bertugas di bawah matahari terik Arab Saudi dengan proses menghasilkannya mengambil masa empat tahun. Versi untuk jemaah haji kemudiannya dibangunkan dengan rekaan yang lebih kecil bagi memudahkan ia digunakan walaupun ketika sedang solat supaya tidak mengganggu makmum lain dalam saf dan tidak menutup dahi ketika sujud.

Setiap Shadow Umbrella dijual pada harga SAR 26.45 (~RM 29) sebuah.



Source link