Malaysia Oversight

10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2025

By Amanz in December 5, 2025 – Reading time 7 minute
10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2025


Penghujung tahun 202t5 sudah semakin hampir dan kini tiba untuk kami senaraikan 10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2025 pula. Tahun ini penggunaan AI semakin dipertingkatkan oleh kuasa-kuasa besar serta skandal besar melibatkan teknologi Azure disalahgunakan oleh Israel bagi melakukan genosid ke atas Palestin.

10 Teknologi Ketenteraan 2025

1. Israel Menggunakan Microsoft Azure Untuk Memantau Warga Palestin

Intipan Telefon Palestin

Tahun lepas Isreal melakukan serangan bom dalam mesin kelui dan radio dua hala. Tahun ini mereka dilondehkan pula menggunakan perkhidmatan Microsoft Azure untuk mengintip perbualan telefon warga Palestin sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.

Microsoft akhirnya menghalang Israel daripada menggunakan Azure pada September. Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland. Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.

Microsoft ialah antara syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai pergerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) antarabangsa kerana penglibatan mereka dengan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid secara aktif di Palestin menurut laporan rasmi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.


2. Malaysia dan Korea Selatan Perluas Kerjasama Industri Pertahanan Termasuk Pembangunan Senjata

KAI FA 50 Fighthing Eagle

Malaysia dan Korea Selatan telah memperluaskan kerjasama industri pertahanan dengan fokus diberikan bukan sahaja perolehan senjata tetapi turut merangkumi pembangunan teknologi pertahanan, pengeluaran bersama peralatan ketenteraan dan penyelidikan serta pembangunan jangka panjang.

Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada bulan Oktober dengan ia ditandatangan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin dan Menteri DAPA Korea Selatan, Seok Jong-gun.

Malaysia pernah sebelum ini menandatangani kerjasama dengan Korea Selatan dalam pembelian kenderaan berperisai pembawa infantri K200 pada tahun 1993 dan kemudiannya pembelian 18 pesawat tempur ringan KAI FA-50 Fighting Eagle pada tahun 2023 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.


3. Pesawat Pengebom Rusia Musnah Diserang Dron Kos Rendah Ukraine

Ukraine Dron Rusia Pengebom B

Perang Vietnam dan Afghanistan adalah dua contoh teknologi ketenteraan paling canggih tidak menjanjikan kemenangan. Kini di Ukraine, sekali lagi Rusia berhadapan musuh lebih kecil yang berjaya menyebabkan kerosakan besar menggunakan senjata kos rendah. Ahad lalu dilaporkan sebanyak 41 pesawat pengebom Rusia musnah atau berjaya dirosakkan menggunakan dron yang dilancarkan daripada kontena.

Serangan dilakukan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) menggunakan ratusan dron kecil yang disorok pada bahagian bumbung kontena. Apabila tiba ke pangkalan udara pesawat pengebom Rusia, dron dilancarkan dengan ia dipercayai dilakukan secara swaterbang menggunakan perisian sumber terbuka Ardupilot. Terdapat laporan mengatakan kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mengarahkan dron menyerang bahagian pesawat yang mendatangkan kemusnahan paling besar.

Dron kecil dari jenis kuadrotor yang digunakan berjaya memintas sistem keselamatan udara dan radar yang digunakan Rusia untuk mempertahankan pangkalan udara mereka. Antara pesawat yang berjaya diserang ialah pesawat pengebom Tupolev Tu-95 Bear, Tupolev Tu-22M Backfire dan pesawatBeriev A-50 Mainstay.

Kemusnahan dianggarkan bernilai $9 bilion dengan menyebabkan Rusia kehilangan 34% armada pesawat pengebom strategik mereka. Serangan ini sudah diberikan nama jolokan Pearl Harbor Rusia kerana ia dilakukan secara mengejut.


4. Anduril EagleEye Memberikan Kemampuan Seakan Iron Man Di Medan Perang

Anduril EagleEye Set Kepala B

Anduril mengambil alih projek pembangunan set kepala realiti terimbuh (AR) IVAS daripada Microsoft tahun lalu. Selepas AVAS gagal memenuhi keperluan tentera Amerika Syarikat, Anduril berkata mereka akan membangunkan set baharu yang diberi nama EagleEye. Oktober lalu akhirnya rekaan sebenar EagleEye diperlihatkan secara rasmi.

EagleEye dilengkapi pelbagai kamera dan sensor yang boleh memberikan kemampuan melihat dalam gelap dan lensa dengan skrin terbina untuk memaparkan maklumat penting di medan perang. Peta, lokasi musuh, kompas dan kawalan pelbagai peranti adalah antara yang disokong. Di medan perang EagleEye boleh digunakan seperti helmet biasa atau dengan topeng yang melindungi muka membuatkan pemakai kelihatan seperti Iron Man.

Menurut pengasas Anduril, Palmer Luckey – EagleEye turut membolehkan askar infantri mengawal dron dan robot. Eagle eye menyokong ekosistem Lattice yang dibangunkan oleh syarikat dengan ia turut menyokong dron serta peluru berpandu yang dibangunkan oleh syarikat. Untuk menjayakan EagleEye, Anduril bekerjasama dengan Meta, OSI, Qualcomm dan Gentex Corporation.


5. Anduril dan Blue Origin Kini Turut Membangunkan Roket Kargo Untuk Kegunaan Ketenteraan

Air Force Research Lab Rocket Cargo REGAL roket

Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) ingin mempunyai kemampuan menghantar bekalan di mana-mana lokasi di dunia dalam masa sejam. Oleh itu projek Eksperimen Roket untuk Logistik Tangkas Global (REGAL) telah diusahakan sejak sejak 2020. Selepas melantik SpaceX dan Rocket Lab untuk membangunkan roket kargo ketenteraan, USAF melantik pula Anduril dan Blue Origin.

Blue Origin mempunyai kepakaran aeroangkasa menerusi roket New Glenn dan New Shepard serta menerima kontrak membina salah satu kenderaan pendaratan Misi Artemis ke bulan. Anduril pula lebih dikenali sebagai syarikat dron yang baru-baru ini menerjah ke dalam arena penghasilan peluru berpandu serta mengambil alih projek set kepala IVAS untuk infantri daripada Microsoft.

Di bawah projek REGAL, roket kargo perlu mempunyai kemampuan membawa kargo sehingga 82 tan yang bersamaan dengan kapasiti pesawat kargo Boeing C-17 Globemaster III yang digunakan sekarang.


6. Amerika Akan Membina “Kubah Emas” Menangkis Serangan Misil Berharga $175 Bilion

Amerika Golden Dome Kubah Emas B

Kubah emas ialah nama pencak dalam komik Dewata Raya oleh Tony Wong yang popular di dekad 90an dahulu. Ia boleh mengesampingkan serangan Encik Otot, Pelawak Tulang dan Presiden William Gates. Fiksyen komik Hong Kong ini menjadi realiti selepas projek Golden Dome diumumkan oleh Presiden pada bulan Mei untuk melindungi Amerika Syarikat daripada serangan Rusia dan .

Sistem pertahanan Kubah Emas ini akan menelan belanja $175 bilion (~RM 744 bilion) dengan ingin ia mula beroperasi sewal 2029 sebelum berakhirnya penggal beliau sebagai Presiden. Kanada juga menunjukkan minat untuk bekerjasama membangunkan sistem pengesanan pelancaran misil nuklear balistik antara benua menggunakan rangkaian satelit di angkasa.

Selain misil nuklear balistik antara benua, Kubah Emas juga direka untuk menangkis peluru berpandu, senjata hipersonik dan dron. Idea membangunkan sistem ini diilhamkan oleh sistem Iron Dome yang digunakan oleh Israel.

Antara syarikat yang mungkin menerima kontrak besar ialah Palantir, Anduril, L3Harris, Lockheed Martin, RTX Corp. Projek Kubah Emas ini adalah mirip program Strategic Defense Initiative (SDI), yang lebih dikenali sebagai Program Star Wars yang diumumkan Presiden Reagen pada tahun 1983. SDI tidak menjadi realiti kerana teknologi untuk rangkaian satelit mengesan misil dan sistem laser yang boleh menangkisnya belum lagi wujud 42 tahun lalu.


7. OpenAI, Google, Anthropic dan xAI Benarkan AI Mereka Digunakan Bagi Tujuan Ketenteraan

Tentera AI kecerdasan buatan Ketenteraan

OpenAI, Google, Anthropic dan xAI masing-masing dianugerahkan kontrak oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bagi meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan ketenteraan. Kontrak dilaporkan mencecah $200 juta setiap satu dengan antara yang disasarkan ialah penggunaan ejen AI oleh anggota tentera dan menangani cabaran keselamatan negara yang kritikal.

Pengumuman pada bulan Jun ini ialah kesinambungan kepada kontrak yang diberikan kepada OpenAI juga tahun ini. OpenAI for Government sudahpun digunakan Makmal Penyelidikan Tentera Udara, NASA, NIH, dan Jabatan Perbendaharaan. Juga telah diumumkan oleh Anthropic ialah Claude Gov yang dibangunkan khusus untuk operasi seperti perancangan strategik, sokongan operasi dan analisis risikan.

AI diharap akan dapat menggandakan kemampuan ketenteraan di lapangan dan memberikan kelebihan apabila berhadapan dengan musuh. Tahun lalu AI telah digunakan untuk mengenalpasti 85 sasaran untuk di bom di Iraq, Syria dan Yemen. Israel pula menggunakan AI The Gospel untuk mengebom lebih 200 lokasi musuh dalam konflik Israel-Palestin yang masih berlarutan ke hari ini.


8. Amerika Ingin Membangunkan Kapal Pengangkut Angkasa Lepas

Gravitics Kapal Pengangkut Angkasa Lepas

Kapal pengangkut pesawat digunakan kuasa besar dunia untuk mengembangkan kemampuan ketenteraan mereka. Pesawat boleh dihantar menyerang musuh dari mana-mana lokasi apabila diperlukan. Kini konsep kapal pengangkut akan digunakan pula di angkasa lepas menerusi projek yang disokong oleh Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (Space Force).

Langkah pertama telah dimulakan dengan kontrak prototaip kapal pengangkut angkasa lepas diberikan kepada syarikat Gravitics, Inc. Amerika Syarikat ingin mempunyai kapal pengangkut yang menempatkan beberapa kenderaan angkasa lepas di dalamnya. Ia hanya akan dilancarkan apabila diperlukan. Ini mungkin dalam bentuk satelit gantian sekiranya satelit intipan sedia ada gagal berfungsi atau telah dimusnahkan musuh.

Dalam situasi semasa, satelit gantian perlu dilancarkan dari bumi dan ini mungkin memakan masa beberapa minggu kerana kargo perlu diperiksa, disimpan dalam ruang kargo roket dan roket sendiri perlu diperiksa sebelum boleh dilancarkan. Kemudian terdapat faktor cuaca yang boleh menyebabkan pelancarannya dibatalkan. Dengan kapal pengangkut angkasa, satelit gantian dilancarkan serta merta kerana sudahpun berada di orbit.


9. Boeing F-47 Ialah Pesawat Tempur Gen-6 Amerika Syarikat

Boeing NGAD F 47

Boeing diumumkan sebagai pemenang kontrak mengeluarkan pesawat tempur generasi ke-enam Amerika Syarikat di bawah program Next Generation Air Dominance (NGAD). Pesawat tempur baharu Amerika Syarikat sejak F-35 ini akan menggunakan nama rasmi F-47 dengan Boeing berjaya mengalahkan pesaing mereka Lockheed Martin.

Untuk pembangunan F-47, Boeing akan menerima dana bernilai $20 bilion (~RM 88.5 bilion) dengan setiap pesawat kemudiannya akan dijual pada harga sekitar $300 juta (~RM 1.33 bilion). Sebagai pesawat generasi ke-enam, F-47 masih memerlukan juruterbang manusia tetapi akan dapat melakukan operasi bersama dengan dron di bawah program Skyborg dan juga Replicator yang telah diumumkan sebelum ini

Sebelum ini dalam imej acah yang dikongsi oleh Boeing, pesawat NGAD mereka tidak akan mempunyai ekor menegak, mempunyai sayap delta dan kanard di bahagian hidung. Ia adalah mirip dengan dua prototaip pesawat tempur generasi ke-enam yang muncul secara mengejut pada Disember tahun lalu. Di atas ialah gambar rasmi F-47 pertama yang dikongsi oleh Boeing dengan ia jelas mempunyai rekaan yang sama dengan rekaan NGAD.

Boeing tidak memberitahu mengapa nama F-47 digunakan. Sebelum ini nombor yang sama digunakan pada pesawat tempur Republic P-47 Thunderbolt yang beroperasi ketika Perang Dunia Kedua.


10. Tentera Israel Wajib Menggunakan

Apple Iphone 17 Pro Max Depan

Atas faktor keselamatan, Angkatan Tentera Israel (IDF) kini mengharamkan penggunaan telefon pintar Android oleh pegawai tentera berpangkat leftenan kolonel dan ke atas. Mereka diwajibkan menggunakan sahaja selepas ini menurut laporan The Jurusalem Post.

Penggunaan Android diharamkan bagi mengelakkan peranti milik pegawai diakses oleh musuh sehingga mendedahkan maklumat penting seperti lokasi anggota tentera. Israel berkata terdapat usaha daripada Iran menggunakan taktik kejuruteraan sosial untuk mengakses peranti milik anggota.

Arahan baharu yang diberikan ialah usaha memperkukuhkan keselamatan sedia ada termasuk meningkatkan kesedaran pegawai tentang taktik kejuruteraan sosial. Pengharaman ini hanya tertakluk pada peranti yang digunakan pegawai untuk melalukan tugas. Mereka masih dibenarkan menggunakan peranti peribadi yang menggunakan Android.



Source link