Malaysia Oversight

10 Berita Sains Paling Menarik 2025

By Amanz in December 8, 2025 – Reading time 10 minute
10 Berita Sains Paling Menarik 2025


Tahun 2025 melihat perkembangan menarik dalam melihat impak penggunaan AI dalam aktiviti harian, spesis yang disangka hilang ditemukan semula dan juga terapi gen merawat penyakit yang sebelum ini tidak boleh dirawat. Berikut ialah 10 berita sains paling menarik sepanjang 2025.

10 Berit Sains 2025

1.Bumi Kini Mempunyai 8.09 Bilion Penduduk

Manusia

Penduduk bumi mencecah 8.09 bilion yang merupakan peningkatan 71 juta penduduk berbanding awal 2024 menurut data yang diterbitkan Biro Bancian Amerika Syarikat. Sungguhpun begitu, kadar kelahiran sepanjang 2024 adalah lebih rendah berbanding 2023 dimana penduduk bumi meningkatkan sebanyak 75 juta.

Dianggarkan 4.2 kelahiran dan 2.0 kematian akan berlaku setiap saat di bumi pada 1 Januari 2025. Kadar kelahiran di setiap benua kecuali Afrika menunjukkan trend penurunan. Di Malaysia kadar kelahiran ialah 1.6 bayi untuk setiap wanita yang adalah penurunan mendadak berbanding 6 bayi setiap wanita pada tahun 1957 dan 2.1 bayi setiap wanita pada tahun 2010. Kadar kelahiran 2.1 bayi untuk setiap wanita diperlukan untuk mengekalkan populasi sesebuah negara.

Penduduk bumi akan mencecah jumlah puncak 10.29 bilion menjelang 2084 sebelum susut disebabkan kadar kelahiran yang berkurangan.


2.Makan Nasi Akan Menyebabkan Kanser Akibat Perubahan Iklim

Padi

Perubahan iklim telahpun memusnahkan habitat haiwan terancam, peningkatan tahap air laut dan meningkatkan risiko kematian. Tetapi menurut kajian terkini daripada saintis Columbia University, ia kelak akan membuatkan makanan ruji rakyat Malaysia menjadi terlalu beracun untuk dimakan.

Kajian diketuai oleh Lewis Ziska dengan kerjasama penyelidik di Amerika Syarikat dan selama enam tahun mendapati tahap arsenik tidak organik meningkatkan pada padi yang ditanam selari dengan peningkatan suhu dan karbon dioksida di udara.

Air yang digunakan dalam penanaman padi mempunyai kandungan arsenik tidak organik. Padi menyerap lebih banyak air disebabkan oleh peningkatan suhu dan karbon dioksida. Oleh itu beras yang terhasil akan mempunyai tahap arsenik yang tinggi. Ini sekaligus meningkatkan risiko beberapa jenis kanser, penyakit jantung dan masalah neurologi pada bayi.

Risiko penyakit adalah lebih tinggi di negara pengguna beras tertinggi di Asia iaitu Vietnam, Indonesia, , Bangladesh, Filipina, Myanmar dan India. Perubahan suhu telahpun menyebabkan tanaman kopi dan teh terancam. Jika langkah serius tidak diambil untuk mengawal perubahan iklim, budaya sarapan pagi nasi lemak, teh tarik dan kopi susu Malaysia yang diiktiraf sebagai budaya kemanusian oleh UNESCO akan pupus di masa hadapan.

Kertas kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal The Lancet.


3.Google DolphinGemma Dilancarkan Untuk Berkomunikasi Dengan Ikan Lumba-Lumba

Google DolphinGemma Ikan Lumba LUmba

Saintis sudah mengetahui sejak berdekad lamanya ikan lumba-lumba “bercakap” antara satu sama lain menggunakan bunyi klik, wisel dan denyutan. Hari ini Google mengumumkan model kecerdasan buatan (AI) DolphinGemma yang dibangunkan bagi membantu saintis memahami perbualan yang dilakukan oleh ikan lumba-lumba.

DolphinGemma dibangunkan menerusi kerjasama Google dengan Georgia Tech dan Wild Dolphin Project. Selain mentafsir perbualan haiwan, ia turut boleh mengalih bahasa manusia ke bahasa ikan lumba-lumba bagi membolehkan komunikasi antara dua spesis mamalia ini.

Model AI ini adalah berasaskan model Gemma yang dibangunkan khusus bagi tujuan kajian sains. Ia mempunyai sekitar 400 juta parameter menggunakan data yang dikumpul oleh Wild Dolphin Project sejak 1985. Model DolphinGemma cukup kecil ia boleh dijalankan menggunakan sebuah Pixel 6 di lapangan oleh penyelidik.

Selepas model dihasilkan, sistem CHAT (Cetacean Hearing Augmentation Telemetry) pula dibangunkan oleh Georgia Tech untuk mengumpul bunyi dan kemudian cuba memahami sama ada ia adalah perbualan. Penyelidik kini menghasilkan bunyi tertentu menggunakan CHAT untuk objek tertentu dengan harapan ikan lumba-lumba boleh mempelajari kosa kata baharu yang tidak wujud sebelum ini. Dalam massa terdekat, peranti Pixel 6 yang digunakan sekarang akan digantikan dengan Pixel 9 yang lebih berkuasa.

Kemampuan berkomunikasi dengan spesis berbeza ialah sains fiksyen yang sebelum ini hanya wujud dalam siri TV. Dalam siri SeaQuest DSV misalnya, manusia sudahpun boleh berkomunikasi dengan ikan lumba-lumba menggunakan peranti yang dipasang pada kepala. Kita juga sudah berjaya mengajar chimpanzee untuk menggunakan bahasa isyarat tetapi bukan menggunakan bahasa chimpanzee itu sendiri. Mungkin dalam masa terdekat, sains fiksyen akan menjadi realiti dengan bantuan AI.


4.Kajian MIT Mendapati ChatGPT Menjadikan Pengguna Malas dan Aktiviti Otak Merosot

OTAK MIT ChatGPT otak

Dalam tempoh tiga tahun, OpenAI yang dahulunya hanya dikenali dalam kalangan peminat Dota dan peminat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara syarikat yang paling dikenali dunia. Siapa sangka pembangun bot yang boleh mengalahkan manusia dalam Dota kemudiannya membangunkan chatbot yang mengubah bagaimana kerja, kajian dan pencarian maklumat dilakukan di seluruh dunia.

Sejak dilancarkan, ramai tertanya-tanya apakah impak ChatGPT terhadap manusia? Kita sudah dapat melihat ribuan individu kehilangan kerja dan kini kajian dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) mendapati ia turut mendatangkan impak negatif terhadap otak manusia.

Kajian melibatkan 54 peserta dalam lingkungan usia 18-39 tahun yang diberikan tugas menulis beberapa karangan untuk SAT (ujian setaraf STPM). Peserta dipisahkan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama menulis dengan bantuan ChatGPT, kumpulan kedua menggunakan Google dan kumpulan ketiga tanpa sebarang bantuan.

Alat EEG dipasangkan di kepala untuk merekodkan aktiviti 32 wilayah otak penulis. Penyelidik mendapati pengguna ChatGPT mempunyai penglibatan otak yang paling rendah. Prestasi otak mereka juga secara konsisten rendah pada tahap saraf, linguistik dan tingkah laku. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, pengguna ChatGPT turut menjadi lebih malas dengan setiap karangan yang dihasilkan menjadi karya salin dan tampal menjelang akhir kajian.

Oleh itu penyelidik mencadangkan penggunaan model bahasa rasa (LLM) seperti OpenAI boleh membahayakan proses pembelajaran terutamanya untuk pengguna muda. Walau bagaimanapun kertas kajian ini belum lagi melepasi proses kajian setara dan hanya menggunakan sampel yang agak kecil.


5.Gamat Boleh Menghalang Penyebaran Kanser

Gamat Kanser

Minyak gamat sudah lama digunakan untuk mengubat luka dengan kami yakin anda sekurang-kurangnya satu di rumah dan ia menjadi antara buah tangan apabila ke Langkawi. Penyelidik dari University of Mississippi kini mendapati sebatian yang dihasilkan gamat boleh menghalang penyebaran kanser.

Kanser disebarkan ke bahagian lain menerusi proses metastasis disebabkan oleh enzim Sulf-2. Sel manusia diliputi struktur kecil seperti rambut yang dipanggil glycans yang membantu komunikasi sel, tindak balas imun dan pengecaman ancaman seperti patogen. Sel-sel kanser mengubah enzim tertentu tubuh, termasuk Sulf-2 yang seterusnya mengubah struktur glycans. Pengubahsuaian ini membantu kanser merebak.

Tetapi sebatian gula sugar fucosylated chondroitin sulfate yang dihasilkan gamat daripada spesis Holothuria floridana boleh menghalang Sulf-2 dalam ujian yang dilakukan di makmal. Apabila Sulf-2 dihalang, metastasis kanser dapat dihalang daripada berlaku.

Kelebihan lain sebatian yang dihasilkan gamat ini ialah ianya selamat digunakan dan lebih mudah dihasilkan berbanding proses sintetik. Halangan pada waktu ini ialah mendapatkan fucosylated chondroitin sulfate dalam jumlah yang banyak bagi melakukan ujian klinikal pada haiwan makmal sebelum dikembangkan pula kepada manusia.


6.Spesis Kelip-Kelip Yang Hilang Lebih 100 Tahun Ditemukan Semula Di Bukit Kiara

Gombak bent winged firefly Pteroptyx gombakia Nicholas HL Tan
Pteroptyx gombakia – Gambar oleh Nicholas HL Tan

Tidak ada yang lebih menyedihkan melihat spesis haiwan pupus disebabkan oleh manusia yang memusnahkan habitat mereka. Maka berita hari ini adalah menggembirakan kerana kelip-kelip bersayap bengkok Gombak (Pteroptyx gombakia) yang kali terakhir dilihat hidup pada tahun 1921 ditemukan semula oleh Tan Wei Jack, seorang pembantu penyelidik dan pelajar sarjana dalam sains alam sekitar di Monash University Malaysia.

Spesis ditemukan di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Oktober tahun lalu. Beliau hanya menyedari spesimen yang dikutip ialah Pteroptyx gombakia selepas melihatnya di bawah mikroskop makmal pada Januari tauhn ini.

Pteroptyx gombakia hanya dikenalpasti sebagai spesis kelip-kelip baharu pada tahun 2015 walaupun spesimen pertama dikutip pada tahun 1921 di Genting Sempah, Gombak. Ini adalah sejarah di sebalik nama saintifik yang digunakan.

Specimen yang dikutip oleh Tan ialah hanya yang ketiga pernah diambil dengan Taman Persekutuan Bukit Kiara ialah habitat untuk sembilan spesis kelip-kelip. Kerana ia sukar ditemukan, adalah dipercayai kelip-kelip ini adalah spesis yang diancam kepupusan.


7.Jenis Darah Baharu Dikenalpasti Dengan Ia Wujud Pada Seorang Manusia Sahaja

Derma Darah 1

Di sekolah kita diajar terdapat empat jenis darah utama iaitu A, B, AB dan O. Di bawahnya terdapat sub jenis bergantung kepada antibodi dan antigen di dalamnya. Setakat ini 47 jenis darah telah ditemukan oleh saintis tapi pada Jun lalu jenis darah ke 48 akhirnya dikenalpasti selepas menjadi misteri selama 15 tahun.

Pertubuhan Darah Perancis (EFS) telah berjaya mengenal pasti jenis darah ke-48 yang sangat jarang ditemukan, dikenali sebagai “Gwada negatif”. Sampel darah diambil daripada seorang wanita kira-kira 15 tahun lalu semasa beliau melakukan saringan sebelum pembedahan. Di makmal, darah beliau didapati memberikan reaksi negatif ke atas sema jenis darah termasuk ahli keluarga sendiri.

Oleh sebab jenis darah ini terlalu jarang ditemukan, wanita yang berasal daripada kepulauan Guadeloupe ini ialah satu-satunya manusia di dunia yang memilikinya dan akibatnya tidak boleh menerima darah daripada sesiapa kerana reaksi dengan antibodi tubuh beliau.

Misteri mengenai jenis darah beliau hanya terungkai selepas penjujukan DNA dilakukan. Mutasi pada gen yang diwarisi daripada ibu dan ayah beliau menghasilkan jenis darah baharu yang unik tetapi menyukarkan hidup beliau jika memerlukan bekalan darah dalam situasi kecemasan.


8.Penyakit Huntington dan Sindrom Hunter Dirawat Menggunakan Terapi Gen

DNA Data Digital

Penyakit Huntington ialah penyakit genetik yang diwarisi, menyebabkan kerosakan progresif pada sel-sel saraf tertentu dalam otak. Kerosakan ini semakin teruk dari masa ke masa dan menjejaskan pergerakan, kognisi, dan tingkah laku. Simpton penyakit ini mirip dementia, Parkinson dan penyakit motor neuron sebelum akhirnya membawa .

Pada September, syarikat uniQure mengumumkan rawatan terapi gen yang dibangunkan oleh mereka berjaya memperlahankan perkembangan penyakit Huntington pada pesakit secara purata sehingga 75% dalam ujian klinikal. Ia kali pertama rawatan memperlahankan perkembangan penyakit berjaya dilakukan. Di Malaysia penyakit ini jarang berlaku dengan kes pertama dilaporkan pada tahun 1994.

Menerusi rawatan gen yang diberi nama AMT-130, virus diubahsuai untuk membawa rantaian DNA disuntik terus ke bahagian striatum otak yang terdedah kepada penyakit Huntington. Apabila memasuki sel otak, rantaian DNA ini mengarahkan neuron untuk menghasilkan terapi sendiri yang mengelakkan kematiannya. Tanpa rawatan, protein huntingtin protein yang mengalami mutasi akan secara perlahan-lahan membunuh neuron otak sehingga pesakit menunjukkan simptom dementia, Parkinson dan penyakit motor neuron.

Secara lazimnya penyakit Huntington dikesan ketika umur 30an dan 40an dengan jangka hayat hidup dianggarkan sehingga 20 tahun sahaja. Rawatan AMT-130 membolehkan pesakit hidup untuk beberapa dekad lagi walaupun belum dirawat sepenuhnya.

Kemudian bulan November lalu, penyelidik di University of Manchester mengumumkan seorang kanak-kanak dengan Sindrom Hunter telah berjaya dirawat menggunakan teknik rawatan gen. Oliver Chu, seorang kanak-kanak dari Amerika Syarikat ialah penerima pertama rawatan ini dengan beliau merupakan lima yang terawal terlibat dalam ujian rawatan Sindrom Hunter yang sedang dibangunkan.

Oliver Chu Sindrom Hunter
Oliver Chu dan bapa – University of Manchester

Sel tunjang diambil daripada darah Oliver dan kemudian gen yang mengandungi IDS dimasukkan ke dalam cangkerang virus. Ini kemudiannya dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit. Virus akan memasuki sel tunjang dan apabila tiba ke sumsum tulang akan mula menghasilkan sel darah putih baharu dan setiap satunya diharapkan akan mula menghasilkan enzim IDS.

Selepas 9 bulan menerima rawatan, Oliver menunjukkan perkembangan positif dengan beliau boleh bercakap dan berinteraksi dengan kanak-kanak sebaya. Walaupun petanda awal menunjukkan rawatan ini berjaya, kajian akan diteruskan selama dua tahun bagi melihat keberkesanannya. Selain Oliver, empat lagi kanak-kanak dari Amerika, Eropah and Australia menyertai ujian ini.

Sindrom Hunter (MPSII) ialah penyakit yang jarang berlaku tetapi pesakit akan secara perlahan-lahan meninggal dunia sebelum mencapai usia 20 tahun. Ia berlaku sekali dalam setiap 100,000 kelahiran bayi lelaki dengan ia mengakibatkan kerosakan pada otak dan tubuh. Kerosakan pada gen menyebabkan tubuh yang menghasilkan enzim iduronate-2-sulfatase (IDS) yang diperlukan untuk memastikan sel tubuh kekal sihat.


9. Dijangka Mula Menggunakan Tenaga Nuklear Dalam Masa Lima Tahun

Nuklear

Penggunaan tenaga nuklear untuk memperkasakan bekalan elektrik di Malaysia adalah satu topik yang sering diperdebatkan, dengan baru-baru ini pusat juga mengatakan bahawa mereka akan mempertmbangkan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia tidak lama lagi.

Bulan lalu melalui Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah memberitahu Dewan Undangan Negeri dan mengatakan bahawa pada masa ini sedang dalam proses untuk membina pengetahuan dan kepakaran untuk memanfaatkan teknologi tenaga nuklear di negeri ini.

Kerajaan negeri juga akan berunding dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia untuk kolaborasi tentang pengenalan subjek-subjek berkaitan pembangunan dan kepakaran dalam bidang tenaga nuklear.

Datuk Seri Amirudin Shari mengatakan bahawa beliau telah berbincang juga dengan sejumlah pelajar Malaysia di Universiti Tsinghua dan mendapati bahawa tenaga nuklear merupakan sebuah topik yang dilihat sebagai “taboo” untuk diperkatakan, dan oleh itu, mereka yang berminat dengan bidang tersebut tiada pilihan selain dari keluar dari Malaysia untuk mempelajari tentangnya.

Beliau mengatakan lagi bahawa peralihan kepada tenaga mampan dan nuklear adalah sesuatu yang perlu dimulakan kerana negeri tidak lagi boleh terus bergantung kepada bekalan tenaga fosil seperti gas, petroleum dan arang kerana sumber tersebut akan lupus apabila tiba masanya kelak.

Menurut laporan, akan cuba untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga mampan dalam masa lima tahun lagi.


10. Implan Otak Kini Boleh Membaca Buah Fikiran

Antaramuka Otak Komputer BCI implan otak

Implan otak menjadi antaramuka antara otak dan komputer. Beberapa syarikat terkemuka seperti Facebook dan Neuralink membangunkan implan ini bagi membolehkan masa depan peranti dikawal dengan hanya berfikir. Kini sebuah sistem antaramuka otak-komputer(BCI) buat pertama kalinya berjaya membaca buah fikiran dengan ketepatan 74%.

BCI ini telah dibangunkan oleh Stanford University dengan ia dipasang pada bahagian korteks motor otak yang mengawal percakapan. Empat peserta ujian adalah individu dengan lumpuh serius disebabkan oleh penyakit ALS dan strok pangkal otak. Algoritma AI telah digunakan untuk membaca isyarat yang dihasilkan oleh korteks motor peserta dengan ia dilatih untuk mengenalpasti 125,000 perkataan.

Sistem baharu ini berbeza dengan BCI lain kerana ia terus membaca buah fikiran peserta. Sistem terdahulu membaca isyarat yang dihantar otak ke bahagian mulut apabila mereka ingin bercakap atau isyarat ke tangan apabila ingin menulis. Dengan sistem BCI baharu ini, secara teorinya fikiran insan yang lumpuh menyeluruh ataupun koma boleh dibaca.

Bagi mengelakkan semua yang difikirkan dibaca oleh algoritma, peserta diberikan kata laluan untuk mengaktifkan BCI sebelum ia mula membaca fikiran. Penyelidik ini akan meningkatkan lagi kajian bagi meningkatkan ketepatan membaca fikiran. Kertas kajian telah diterbitkan dalam jurnal Cell.




Source link