Malaysia Oversight

10 Berita Kecerdasan Buatan (AI) Paling Menarik 2025

By Amanz in December 18, 2025 – Reading time 9 minute
10 Berita Kecerdasan Buatan (AI) Paling Menarik 2025


Tahun 2025 ialah tahun kecerdasan buatan (AI) kerana perkembangan model-model yang semakin berkuasa, menyebabkan ramai kehilangan kerja dan menjadi sebab nilai saham syarikat teknologi utama dunia naik seperti pucuk dilancarkan. Berikut ialah 10 berita AI paling menarik sepanjang tahun ini.

10 Perkara menarik AI

1. Ledakan Pusat Data Mega Di Peringkat Global

Meta Superintelligence Labs Hyperion

Ratusan juta telah dibelanjakan Meta untuk memancing pekerja syarikat kecerdasan buatan (AI) lain untuk menyertai pasukan Meta Superintellgence Labs (MSL). Mark Zuckerberg sudah mengumpul pasukan “Avenger” yang terdiri daripada insan yang mencipta ChatGPT dan beberapa model GPT berkuasa d OpenAI. Tahun Zuckerberg mengumumkan pula pembinaan pusat data Hyperion yang bukan sahaja berkuasa tinggi tetapi juga bersaiz Galactus.

Dalam muatan yang dinaikkan ke Facebook Zuckerberg berkata, Meta sedang membina pusat data Hyeprion yang apabila siap kelak mempunyai kuasa keseluruhan 5GW. Sebelum Hyperion, pusat data Prometheus akan beroperasi pada tahun 2026 dengan ia berkuasa 1GW. Ini hanyalah dua daripada beberapa pusat data klustersuper yang akan dibina oleh Meta dengan setiap satunya mempunyai keluasan hampir sebesar kepulauan Manhattan di New York. Hyperion akan dibina di Louisiana dengan kampus berhampiran mempunyai keluasan lantai 4 juta kaki persegi.

OpenAI mengumumkan Stargate Project pada Januari dengan tujuan untuk Amerika Syarikat kekal menjadi peneraju teknologi AI yang kini menjadi buruan industri teknologi. Sam Altman, CEO OpenAI mengatakan syarikat akan melakukan pelaburan bernilai $500 bilion (RM 2.23 trilion) untuk Stargate Project dalam tempoh empat tahun.

Projek ini dijayakan OpenAI bersama SoftBank, Oracle, dan MGX. CEO Softbank, Masayoshi Son dilantik sebagai pengerusi Stargate Project. Sementara itu Arm, Microsoft, NVIDIA, dan Oracle pula menjadi rakan teknologi utama.

Di luar Amerika Syarikat, pusat data AI mega turut akan dibina oleh Reliance di Jamnagar, India yang akan hadir dengan jumlah penggunaan kuasa setinggi 3.0 gigawatt. Arab Saudi pula ingin membina pusat data AI yang mesra alam yang menggunakan kuasa dijana oleh solar dan angin. Kesemua projek pusta data mega ini boleh dibina kerana pelaburan besar serta Amerika Syarikat membenarkan cip dieksport tanpa had selepas Presiden membatakan halangan yang dikenakan oleh Presiden Biden.


2. Johor Menjadi Jelapang AI Tetapi Tangguh Pembinaan Pusat Data Kerana AI

Pusat Data Center

Johor akan menjadi Jelapang AI Malaysia dalam masa terdekat selepas meluluskan pembinaan 42 pusat data baharu di awal tahun ini. Daripada jumlah ini, beberapa projek telahpun sudah memulakan operasi. Pusat data pertama dengan cip NVIDIA B200 turut disahkan akan dibina oleh YTL di Johor.

Tetapi berita paling besar mengenai pusat data di Malaysia ialah Johor meminta pelabur yang ingin membina pusat data yang menggunakan sistem penyejukan berasaskan air ditangguhkan sekurang-kurangnya selama 18 bulan sehingga pertengahan tahun 2027.

Keputusan dibuat susulan kebimbangan terhadap jaminan bekalan air di negeri tersebut. Johor kini berhadapan kekurangan sumber air yang berpunca daripada kemarau, pencemaran, serta peningkatan mendadak permintaan daripada sektor industri.

Kemudian pada bulan lalu Johor tidak lagi akan meluluskan permohonan pembinaan pusat data Tahap 1 dan Tahap 2 yang menggunakan sehingga 50 juta liter air sehari (MLD). Ini adalah penggunaan air yang tinggi bersamaan keperluan 25 juta individu sehari. Selepas ini hanya pusat data Tahap 3 dan Tahap 4 yang menggunakan sehingga 0.2 MLD sahaja akan diluluskan.

Walaupun bekalan air secara keseluruhannya mencukupi, negeri ini menghadapi masalah ketidakseimbangan pengurusan dan pengagihan. Sumber air tertumpu di kawasan tengah dan timur Johor tetapi permintaan adalah tinggi di bahagian selatan.


3.AI Menyebabkan Harga RAM dan Storan Naik Mendadak

image 85
Mrjn Photograph/ Unsplash

Permintaan untuk membina puluhan pusat data AI dengan jutaan cip AI menyebabkan tekanan ke atas bekalan cip NAND yang diperlukan untuk RAM dan storan SSD. Tahun ini melihat harga jualan RAM dan SSD meningkat sehingga 50% dengan harga peranti pintar akan menjadi lebih mahal menerusi pengesahan Dell, Acer, Asus, Xiaomi, Samsung dan banyak lagi.

Akibatnya besar kemungkinan sokongan kad microSD akan kembali semula pada telefon pintar Android. Sementara itu pada telefon pintar peranti dengan memori asas 4GB RAM turut akan kembali menjadi normal sementara pada PC pula 8GB akan menjadi normal. NVIDIA pula mungkin menguragkan pengeluaran kad grafik gaming sehingga 40% tahun depan. Kesemuanya akibat penangan pusat data khususnya bagi melatih model AI.

Setakat ini Micron telah menghentikan jenama Crucial yang menawarkan RAM kepada pasaran konsumer kerana memberikan tumpuan kepada pelanggan komersial. Sekiranya selama ini anda mengatakan AI tidak mendatangkan impak ke atas kehidupan anda, tahun depan and akan menyedari anda tidak akan dapat lari lagi daripada kesan negatif perang AI.


4.Meta Memancing Kakitangan AI Pesaing Dengan Ganjaran Ratusan Dolar

Meta AI

Perlumbaan untuk menjadi syarikat AI terbesar dunia menjadi semakin hangat tahun ini dengan Meta memancing kakitangan syarikat pesaing seperti OpenAI, Google, dan Perplexity sebelum menubuhkan Meta Superintelligence Labs (MSL). Antara yang berjaya dipancing MSL ialah Shengjia Zhao yang merupakan pencipta bersama ChatGPT di OpenAI.

Turut berjaya dipancing daripada OpenAI ialah pencipta model o3/o4-mini, GPT-4o, GPT-4.1, GPT-4.5, 4o-imagegenGPT-4o voice mode dan o4-mini. Ketua pembangunan Gemini, Waymo dan Deepmind juga berjaya ditarik daripada Google oleh MSL. Kesemuanya ditawarkan habuan gaji dan saham bernilai ratusan juta juga turut dijadikan habuan oleh Meta untuk memacu inisiatif kecerdasan am buatan (AGI) di MSL.

Semua ini berlaku di pertengahan tahun ini. Kemudiannya selepas beberapa bulan MSL dirombak pula oleh Mark Zuckerberg menyebabkan kakitangan yang baru diambil meletakkan jawatan, kembali kepada syarikat lama atau dibuang kerja. MSL didakwa tidak mempunyai hala tuju yang jelas selepas ditubuhkan. Kehilangan paling besar MSL ialah apabila ketua penyelidikan kecerdasan buatan (AI) Meta, Yann LeCun mengesahkan beliau akan meninggalkan syarikat pada penghujung tahun ini bagi menubuhkan syarikat AI beliau sendiri.


5. Munculnya Model AI Berunsur Islamik Di Malaysia dan Dunia

AI Kecerdasan Buatan

Selari dengan perkembangan infrastruktur AI mega di seluruh dunia, berlaku juga ledakan model-model AI baharu masing-masing dengan ciri tersendiri. Yang menjadi perhatian kami ialah model AI berasaskan agama turut muncul pada tahun 2025.

Kita mulakan dengan HUMAIN Chat dari Arab Saudi yang menggunakan model ALLAM 34B yang merupakan model bahasa raya (LLM) Arab yang paling maju setakat ini. Ia bukan sahaja memahami bahasa Arab tetapi juga memahami budaya, nilai dan warisan agama .

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir pula meneroka kerjasama dalam bidang fatwa dengan memanfaatkan teknologi digital dan AI. Usaha ini bertujuan menilai potensi AI dalam menyampaikan fatwa yang relevan selaras dengan isu-isu kompleks yang dihadapi masyarakat moden.

Di Malaysia pula Zetrix AI membangunkan perkhidmatan AI baru yang memfokuskan terhadap menjawab kemusykilan berkenaan agama yang dinamakan NurAI berasaskan LLM DeepSeek v3. Platform ini menawarkan panduan yang selaras dengan hukum syariah dalam pelbagai bidang, merangkumi spektrum subjek yang luas, daripada topik kontemporari seperti perundangan, penjagaan kesihatan dan kewangan, hinggalah kepada ilmu teras Islam yang meliputi sejarah, falsafah Islam dan pengajian al-Quran.

Pada bulan Mei, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memperkenalkan dua pembantu AI yang dibangunkan oleh pasukan beliau untuk membantu dalam menjawab kemusykilan berkaitan agama Islam.

Kedua-dua pembantu AI Pegawai Pintar Syariah dinamakan AI Dr. Munir dan AI Dr. Munirah, dan telah dibangunkan menggunakan LLM dengan kerjasama Hedra Studio yang membantu dalam memberikan pembantu-pembantu AI ini sentuhan tempatan. Ia boleh menjawab kemusykilan tentang agama Islam dan juga boleh merumuskan jawapan kepada lebih daripada 9000 soalan berkaitan hukum semasa, fatwa kontemporari, dan isu fiqh masyarakat yang ada dalam pangkalan data aplikasi Al-Inarah.


6.Kementerian Kesihatan Ingin Guna AI Dalam Mengesan Kawasan Berisiko Denggi

Nyamuk Aedes aegypti

Menteri Kesihatan pada Julai berkongsi mengatakan sedang bangunkan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam meramalkan dan mengenal-pasti kawasan-kawasan berisiko tinggi untuk ancaman denggi. Ini dikatakan sebagai salah satu langkah untuk mengenal-pasti lebih awal, sekaligus mengatasinya secepat mungkin.

Disamping penggunaan sistem berasaskan AI, Kementerian Kesihatan sedia melakukan program rintis menggunakan nyamuk Wolbachia, yang boleh mengurangkan populasi nyamuk Aedes pembawa denggi.

Selain untuk kawasan berisiko tinggi diancam Denggi ini, sebelum ini Kementerian Kesihatan turut mengatakan sedang mempertimbangkan kerjasama strategik bersama Google dalam menggunakan kecerdasan buatan untuk tujuan kesihatan. Namun, maklumat lanjut berkaitan dengannya masih tidak dikongsikan lagi.


7. ChatBot Menyebabkan Keracunan, Kematian dan Pembunuhan

Bot Tengkorak telefon mati

ChatGPT boleh dibawa berbicara, menulis aplikasi, merumuskan artikel panjang dan membantu anda mengulang kaji pelajaran. Dalam masa tiga tahun sahaja chatbot kercerdasan buatan (AI) ini menjadi alat bantuan yang digunakan ratusan juta pengguna setiap bulan. Tetapi seorang lelaki Amerika Syarikat mengalami isu keracunan selepas mendengar nasihat perubatan yang diberikan oleh ChatGPT.

Dalam kes yang dilaporkan dalam American College of Physicians Journals minggu lalu, lelaki berusia 60 tahun pergi ke hospital kerana masalah kehausan melampau, ruam kulit dan mengalami halusinasi visual dan audio. Berdasarkan simptom yang ditunjukkan, beliau disahkan mengalami masalah bromism iaitu keracunan bromin dalam tubuh.

Tiga bulan lalu kerana risau mendengar garam adalah tidak baik untuk kesihatan, pesakit bertanya kepada ChatGPT apakah ganti terbaik untuknya. ChatGPT menyarankan garam bromida dan akibatnya kandungan bromida tubuh meningkat. Jawapan yang diberikan ChatGPT tidak tepat kerana garam bromida hanyalah ganti untuk garam biasa apabila digunakan di kolam bukan untuk pemakanan.

Tahun ini juga melihat OpenAI disaman kerana ChatGPT didakwa membantu seorang remaja membunuh diri dengan it turut memberikan cara untuk melakukannya. April lalu Adam Raine membunuh diri selepas meminta ChatGPT memberikan saranan teknik yang boleh digunakan. Beliau berjaya memintas sistem keselamatan ChatGPT 4o yang menghalang soalan seperti ini dijawab dengan mengatakan beliau sedang melakukan kajian untuk cerita yang sedang ditulis.

Selain melakukan kajian membunuh diri, ChatGPT juga digunakan oleh Raine untuk mengarang nota terakhir. Saman difailkan selepas ibu bapa beliau berjaya mengakses log perbualan yang dilakukan mendiang.

Pada Ogos pula Stein-Erik Soelberg (56) dan ibu beliau Suzanne Adam (83) ditemukan meninggal dunia di Greenwich, Amerika Syarikat. Polis mendapati Soelberg membunuh ibu beliau menjadikan ia sebuah jenayah. Selepas tiga minggu kes disiasat, polis Greenwich kini percaya mereka ini ialah kali pertama kes bunuh lantas bunuh diri (murder suicide) melibatkan penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI) menurut laporan WSJ. Log perbualan ChatGPT mengesahkan delusi Soelberg bahawa ibu beliau terlibat dalam konspirasi menjatuhkan beliau.


8. Kebangkitan Ejen AI dan Piawaian Seragam Industri

Yayasan AI Ejentik Agentic AI Foundation AAIF

Tahun 2022 ialah tahun chatbot AI menjadi bualan ramai menerusi pelancaran ChatGPT. Pelbagai produk dengan kemampuan menulis yang menakjubkan. Semalaman dunia berubah dan ChatGPT dikenali hampir semua manusia di muka bumi. Tahun 2025 pula menjadi tahun teknologi AI semakin matang dengan wujudkan kerjasama menghasilkan piawaian seragam untuk ejen-ejen AI.

OpenAI, Anthropic, dan Block menubuhkan Yayasan AI Ejentik (Agentic AI Foundation) atau AAIF bagi menyeragamkan piawaian ejen AI. Ini adalah bagi membolehkan kesemua ejen AI di masa hadapan bekerjasama antara satu lain menggunakan protokol standard. AAIF kini diletakkan di bawah Linux Foundation.

Sebagai langkah pertama, Anthropic menyumbangkan Model Context Protocol (MCP), Block pula menyumbangkan goose, dan OpenAI pula menyumbangkan AGENTS.md kepada AAIF. Dengan ejen AI akan semakin berinteraksi antara satu sama lain satu piawaian standard perlu dibangunkan seperti bagaimana Linux digunakan dalam ekosistem perisian.

Walaupun baru sahaja ditubuhkan, AAIF sudahpun mempunyai senarai ahli yang besar. Ahli platinum misalnya terdiri daripada Amazon Web Services, Anthropic, Block, Bloomberg, Cloudflare, Google, Microsoft dan OpenAI.


9. AI Mula Digunakan Pihak Tentera Secara Terbuka

Tentera AI kecerdasan buatan Ketenteraan

Penggunaan AI oleh pihak tentera adalah topik taboo kerana ramai tidak mahu fantasi filem Terminator menjadi kenyataan. Maka penggunaannya dilakukan secara rahsia dan apabila didedahkan menerima protes daripada kakitangan seperti yang berlaku di Google dan Microsoft.

Tahun 2025 melihat taboo syarikat teknologi utama Google, xAI, Perplexity, dan OpenAI secara terbuka membenarkan model AI mereka digunakan oleh pihak tentera. Setiap syarikat di atas menerima kontrak $200 juta oleh Jabatan Peperangan Amerika Syarikat (Dow) bagi menguji kemampuannya beberapa bulan lalu.

Sekitar seminggu lalu, DoW secara rasminya memilih Google Gemini 3 sebagai model kecerdasan buatan (AI) yang akan digunakan inisiatif GenAI.mil. Menerusi inisiatif ini, AI akan dimanfaatkan bagi melakukan tugasan yang lebih cekap dan bersedia untuk peperangan selari dengan Pelan Tindakan AI yang diumumkan Rumah Putih.

Di Malaysia pula, turut akan menggunakan AI untuk meningkatkan keupayaan aset keselamatan dan pertahanan negara serta kapasiti anggota menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan, di bawah Di bawah Rancangan Malaysia ke-13. Tahun 2025 ialah tahun kita tidak lagi takut dengan kewujudan Skynet dan Judgement Day.


10. Amanz Menguji Ciri Carian AI Untuk Pertanyaan Berkaitan Gajet dan Teknologi

Amanz AI Edited 2

Kerana ini laman web kami sendiri, izinkan kami masuk bakul angkat sendiri untuk topik ke-10 ini, Amanz kini menguji integrasi kecerdasan buatan janaan pada sokongan carian, sekaligus memudahkan para pembaca dan pengguna dalam melakukan carian atau pertanyaan berkaitan dengan gajet dan teknologi dengan mudah.

Pengguna boleh melakukan perbandingan peranti, pelan telekomunikasi, mahupun bertanya berkenaan dengan sejumlah kandungan teknologi, sains dan inovasi yang telah diterbitkan di Amanz. Sokongan ini dihadkan kepada artikel yang pernah diterbitkan di Amanz sahaja buat masa ini. Seperti perkhidmatan lain, pengguna boleh menggunakan bahasa perbualan dan mendapatkan respon dalam bahasa Melayu. Pengguna turut boleh bertanyakan soalan susulan dan lain-lain.

Buat masa ini, ciri ini masih pada peringkat eksperimental, dan ditawarkan untuk diuji oleh para pengguna berdaftar yang telah log masuk ke web Amanz sahaja. Sekiranya ia berjalan lancar, maka ciri ini akan diaktifkan kepada semua, termasuk untuk pengguna tidak berdaftar.

Bagi anda yang berminat, boleh mencuba ciri ini melalui tab carian di Amanz hari ini, melalui web.



Source link