10 Berita Aeroangkasa Paling Menarik 2025
Penulis Tamu
Tahun 2025 melihat berlakunya insiden kemalangan pesawat tempur Malaysia, operasi mencari semula MH370 dimulakan dan halangan penggunaan power bank diperkenalkan oleh beberapa syarikat penerbangan dunia. Berikut ialah 10 Berita Aeroangkasa Paling Menarik 2025.

1.Pencarian MH370 Dimulakan Semula Pada 30 Disember

Enigma kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 masih belum terungkai. Apakah yang menyebabkan pesawat Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal menjadi perdebatan dengan wujud teori ia disengajakan dan ada yang percaya ia adalah disebabkan kuasa ghaib. Selepas lebih 11 tahun pesawat ini hilang, pencariannya akan dimulakan semula pada 30 Disember ini.
Syarikat Ocean Infinity akan menjalankan pencarian selama 55 hari secara berperingkat di kawasan Lautan Hindi Selatan yang dipercayai mempunyai kebarangkalian tinggi adalah lokasi akhir pesawat sebelum terhempas. Pencarian dilakukan berdasarkan perjanjian perkhidmatan antara Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity yang ditandatangani pada 25 Mac lalu. Ia dilakukan bagi memberikan penutup dan keadilan kepada keluarga mangsa.
Ocean Infinity telahpun terlibat dalam dua carian sebelum ini tetapi gagal menemukan pesawat. Kontrak yang ditandatangani ini ialah selama 18 bulan dengan kawasan carian adalah seluas 15,000 kilometer persegi. Mereka hanya akan menerima bayaran $70 juta (~RM 289 juta) sekiranya berjaya menemukan bangkai pesawat
2. Malaysia Sasar Miliki Tapak Pelancaran Roket Pertama Asia Tenggara Menjelang 2029

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kini berkongsi mengatakan Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai tapak pelancaran roket tersendiri. Ini dajangka wujud seawal 2029 kelak dengan ia adalah selari dengan Dasar Angkasa 2030.
Buat masa ini, cadangan melibatkan tiga lokasi di Pahang, Sarawak dan Sabah. Lokasi akhir belum ditentukan lagi. Laporan kajian kebolehlaksanaan telah pun diselesaikan, dan kini dalam proses penilaian. Sekiranya terdapat sebarang syarikat luar ingin bekerjasama, maka mereka perlu melakukannya dengan syarikat tempatan serta mendapatkan persetujuan kerajaan negeri.
Tapak pelancaran roket di Malaysia dijangka memberikan sejumlah kelebihan seperti kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa yang membolehkan pelancaran roket lebih menjimatkan kos bahan api kerana ianya lebih efisien berbanding lokasi lain di dunia. Langkah ini juga dijangka memberikan perkembangan sihat dalam arena aeroangkasa dan kejuruteraan di Malaysia.
3. Airbus A320 Memintas Boeing 737 Sebagai Pesawat Penumpang Paling Banyak Dikeluarkan

Selamat tinggal Boeing 737, selamat datang Airbus A320 kerana ia telah memintas kedudukan 737 sebagai pesawat penumpang komersial paling banyak dikeluarkan pada Oktober lalu. Menurut data yang diterbitkan oleh Cirium, sebanyak 12,268 pesawat Airbus A320 telah dikeluarkan sejak 1988 berbanding 12,262 Boeing 737 sejak 1968.
Walaupun dilancarkan lebih awal, Airbus A320 berjaya memintas Boeing 737 kerana pelbagai isu yang dihadapi oleh Boeing. Antaranya ialah insiden melibatkan siri 737 MAX yang terhempas disebabkan oleh sistem kawalan pesawat dan kemudiannya pintu kecemasan Air Alaska tercabut tahun lalu. Rekod keselamatan pesawat Boeing mula diragui menyebabkan syarikat penerbangan memilih A320.
Di Malaysia Boeing 737 sangat sinonim dengan Malaysia Airlines sementara Airbus A320 pula sinonim dengan Air Asia.
4.Angkasawan Tersadai Di ISS Selama 278 Hari Selamat Kembali Ke Bumi

Dua angkasawan NASA Barry Wilmore dan Sunita William sudah tersadai di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun tahun lalu telah selamat kembali ke bumi pada bulan Mac. Ini menamatkan misi getir 278 hari yang tidak dirancang disebabkan oleh isu pada kapal angkasa Starliner yang dinaiki mereka. Wilmore dan William kembali ke bumi bersama Nick Hague dan Aleksandr Gorbunov di dalam kapsul Crew Dragon dengan ia mendarat di perairan Florida.
Mengikut perancangan asal kedua-dua angkasawan sepatutnya menghabiskan masa lapan hari sahaja di ISS dengan kapsul Starliner dijadualkan pulang pada 14 Jun tahun lalu. Kebocoran yang dikesan dan juga isu perisian menyebabkan NASA tidak berani mengambil risiko. Starliner telahpun kembali ke bumi pada 8 September lalu tanpa sebarang isu tetapi dua anak kapal tersadai lebih 9 bulan menanti NASA menghantar krew baharu menggunakan kapal angkasa Crew Dragon buatan SpaceX.
Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.
5.Boom XB-1 Ialah Pesawat Supersonik Pertama Terbang Tanpa Dentuman Sonik

Penghujung Januari lalu, Boom Supersonic XB-1 menjadi pesawat buatan swasta pertama mencapai kelajuan supersonik. Ia mencecah 1,360 km/j di Gurun Mojave, Amerika Syarikat dengan ia akan menjadi asas kepada pesawat penumpang Boom Overture yang akan beroperasi menjelang 2029. Kini Boom mengesahkan XB-1 juga menjadi pesawat pertama memecahkan kelajuan bunyi tanpa menghasilkan dentuman sonik (sonic boom) yang boleh didengari.
Apabila terbang pada kelajuan supersonik di ketinggian 30,000 kaki (9144 m), dentuman sonik yang dihasilkan dipantulkan semua ke atas dan tidak akan didengari oleh orang ramai di permukaan bumi. Dentuman sonik adalah sebab mengapa Concorde dihalang terbang di kawasan berpenduduk. Ia bukan sahaja mengejutkan penduduk tetapi menyebabkan cermin pecah kerana meledak seperti bom.
Tanpa dentuman sonik, XB-1 dan Overture boleh beroperasi di lebih banyak ruang udara dengan selamat. Concorde gagal menggantikan pesawat jet komersial kerana ia dihalang terbang merentasi Amerika Syarikat dan juga ruang udara Malaysia semasa beroperasi dengan Singapore Airlines lebih 40 tahun lalu.
6.Pusat Data Ingin Dibina Di Angkasa Lepas

Pusat data memerlukan ruang tahan yang besar, sumber tenaga yang melampau dan jumlah air yang tinggi. Di Johor pembinaan pusat data yang memerlukan jumlah air yang tinggi tidak lagi diluluskan oleh sebab ini. Penyelesaian kepada isu ini mengikut beberapa syarikat utama dunia ialah dengan membina pusat data di angkasa lepas.
Google mengumumkan Project Suncatcher, NVIDIA dengan Starcloud dan China pula dengan Star Compute. Pusat data di angkasa lepas tidak memerlukan sistem penyejukan aktif kerana suhu angkasa lepas yang sejak. Sumber kuasa pula ialah menggunakan kuasa solar tanpa had. Google juga meramalkan Suncatcher boleh dibina menjelang pertengahan 2030 apabila kos melancarkan satelit ke orbit turun serendah $200/kg.
Dalam ketakjuban membina pusat data di angkasa lepas, ramai seperti terlupa dengan isu sampah angkasa lepas yang semakin serius. Selain menambah objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada stesen angkasa, pembinaan pusat data in juga akan menghalang pemandangan ahli astronomi di bumi.
7.Dron Digunakan Untuk Menghantar Ubat-Ubatan Ketika Musim Haji

Pada musim Haji tahun ini, Arab Saudi telah menggunakan sistem dron untuk menghantar ubat dan bekalan perubatan ke pusat-pusat rawatan apabila diperlukan. Penggunaan dron memendekkan masa menghantar ubat dari 1 jam ke 6 minit sahaja yang membolehkan rawatan diberikan kepada yang memerlukan jauh lebih pantas.
Lebih daripada 2000 jenis ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan boleh dihantar menggunakan rangkaian 136 lokasi. Dron akan kemudiannya menghantar kargo yang dibawa ke enam pusat perubatan utama yang terletak di Mina, Muzdalifah dan Gunung Arafah. Lokasi dipilih kerana ia bakal menjadi tumpuan 1.25 juta jemaah Haji yang akan bermula 4 Jun hingga 9 Jun. Sistem dron ini dikendalikan oleh NUPCO yang merupakan pembekal kelengkapan perubatan di Arab Saudi.
8.Penerbangan Terus Terpanjang Dunia Dari Buenos Aires ke Shanghai Dilakukan

China Eastern Airlines melancarkan penerbangan dari Buenos Aires ke Shanghai dengan ia adalah penerbangan terus antara benua terpanjang di dunia. Penerbangan pertama MU745 dilakukan pada 4 Disember dari Shanghai dengan pesawat mendarat di Buenos Aires pada 5 Disember.
Perjalanan sejauh 19,680 km merangkumi jarak 9,346 km antara Shanghai ke Auckland yang mengambil masa 10 jam 53 minit dan 10,334 km dari Auckland ke Buenos Aires yang mengambil masa 11 jam 22 minit. Secara keseluruhan penerbangan mengambil masa 25.5 jam termasuk hentian di Auckland. Penerbang dikategorikan sebagai “penerbangan terus” kerana pesawat tidak ditukar dan masih menggunakan kod laluan yang sama.
Laluan arah Selatan menghubungkan China dan Argentina ini menjimatkan waktu penerbangan laluan Utara yang mengambil masa 29 jam. Rekod penerbangan tanpa henti paling lama masih dipegang Singapore Airlines iaitu laluan Singapura ke New York yang mengambil masa 19 jam. Bagi yang ingin melihat tahap ketahanan tubuh, dua penerbangan seminggu akan ditawarkan oleh China Eastern Airlines menerusi laluan ini.
Pesawat perlu berhenti di New Zealand kerana Boeing 777-300ER yang digunakan tidak mempunyai jarak mencukupi untuk melakukan penerbangan tanpa henti. Minyak perlu diisi semula serta perlu memenuhi keperluan krew menerima rehat mencukupi dan ETOPS. Dalam situasi kecemasan, ETOPS menetapkan pesawat perlu mempunyai lapangan tebang alternatif untuk mendarat.
9.Pesawat Tempur F/A-18 Hornet TUDM Terhempas Di Kuantan
Sebuah pesawat tempur Boeing F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada Ogos lalu. Video yang tular di media sosial menunjukkan letupan berlaku di bahagian enjin ketika pesawat sedang berlepas. Ia terbang selama beberapa saat dengan krew melentingkan diri daripada pesawat sebelum ia terhempas.
Juruterbang dan pegawai sistem senjata dilaporkan selamat dengan mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan lain dilaporkan kerana pesawat terhempas dalam kawasan lapangan terbang dan bukannya di kawasan perumahan awam berdekatan. Selepas siasatan dilakukan, TUDM mengatakan punca kemalangan ialah seekor burung Pucung Serandau atau Bangau paya yang memasuki enjin kiri pesawat.
Ini ialah kali pertama pesawat F/A-18D milik TUDM terhempas sejak mula beroperasi pada tahun 1997. Insiden semalam menyebabkan Malaysia kini hanya mempunyai 6 F/A-18D, 18 Sukhoi Su-33MKM dan 12 BAE-200 yang masih beroperasi. Kementerian Pertahanan masih dalam proses membeli 32 pesawat F/A 18 C/D milik Tentera Diraja Kuwait bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.
10. Arahan Baharu Penggunaan Power Bank Dalam Pesawat Diperkenalkan

Akhir sekali tahun 2025 melihat perubahan besar dilakukan oleh syarikat penerbangan mengenai penggunaan power bank dalam pesawat. Emirates, Singapore Airlines, AirAsia, Cathay Pacific, Qantas, dan Virgin Australia mengharamkan penggunaan power bank untuk mengecas peranti atau mengecas power bank menggunakan sumber kuasa dalam kabin. Malaysia Airlines pula sekadar mengarahkan power bank perlu dikeluarkan daripada beg dan tidak boleh disimpan pada tempat simpanan bagasi di siling pesawat.
Langkah diambil selepas insiden kebakaran melibatkan bateri litium-ion di dalam pesawat Air Busan Flight 391 di Korea Selatan pada Januari lalu yang menyebabkan pesawat Airbus A321 musnah. Walaupun punca kebakaran masih disiasat, adalah disyaki sebuah powerbank atau vape di ruang simpanan atas kepala terbakar. Di Korea Selatan, langkah yang diambil oleh Emirates sudah dikuatkuasakan sejak bulan Februari.






