Malaysia Oversight

KLIA muncul hab kargo udara serantau, Malaysia–China kukuh kerjasama

By Utusan in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
KLIA muncul hab kargo udara serantau, Malaysia–China kukuh kerjasama


SEPANG: Kedudukan Malaysia sebagai pusat strategik ASEAN terus diperkukuh apabila kerjasama kargo udara dengan diperluas, sekali gus menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hab kargo serantau utama yang menghubungkan perdagangan Asia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kedudukan Malaysia yang strategik di tengah ASEAN memberi kelebihan besar dengan rangkaian laluan udara kukuh untuk pembangunan sektor kargo udara.

Menurutnya, kerjasama itu diperkukuh melalui model twin hub antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Xinzheng Zhengzhou susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada Jun 2024.

“Zhengzhou salah satu pusat logistik berkembang pesat di Tengah dengan KLIA sebagai pintu masuk ASEAN akan membuka peluang dalam sektor bernilai tinggi seperti e-dagang, elektronik, farmaseutikal dan hasil segar.

“Ia juga akan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan meletakkan Malaysia lebih berdaya saing dalam rangkaian perdagangan global.

“Melalui inisiatif ini, KLIA bakal memperkukuh kedudukannya sebagai hab kargo utama di Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Zhengzhou-Kuala Lumpur Air Silk Road Forum for International Cooperation di sini hari ini.

Anthony berkata, Malaysia turut giat memperhebat usaha memperkukuh sektor kargo udara dengan memposisikan KLIA serta lapangan terbang antarabangsa lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Senai sebagai hab serantau.

“Usaha ini telah membuahkan hasil yang mana laluan kargo udara antara KLIA dan Lapangan Terbang Zhengzhou menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, iaitu daripada 437 tan pada tahun 2023 meningkat kepada 1,812 tan pada tahun 2024.

“Malah, jumlah tersebut melonjak lagi kepada 11,635 tan setakat September 2025. Selain peningkatan jumlah kargo, kekerapan penerbangan kargo mingguan antara kedua-dua lapangan terbang juga bertambah daripada tiga kali seminggu kepada 10 kali seminggu tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, antara kargo yang dihantar dari Zhengzhou ke KLIA termasuk penghantaran e-dagang rentas sempadan.

“Manakala buah-buahan segar termasuk durian dan pelbagai jenis buah-buahan tropikal lain mendominasi eksport dari KLIA ke Lapangan Terbang Zhengzhou berikutan ia semakin mendapat sambutan di pasaran .

“Ini meletakkan KLIA sebagai hab kargo udara serantau yang boleh dimanfaatkan sebagai hab pemunggahan oleh pemain e-dagang China,” katanya.





Source link