Malaysia Oversight

91.6 % pelajar universiti penyelidikan anak tempatan

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
91.6 % pelajar universiti penyelidikan anak tempatan


: Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi tidak pernah menjejaskan peluang anak tempatan, sebaliknya kepentingan mereka terus diberi keutamaan dalam kemasukan ke universiti awam di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman menegaskan, dakwaan kononnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) gagal mendahulukan kepentingan rakyat dalam isu tersebut adalah tidak berasas.

“Kita juga tertanya-tanya mengapa perkara ini dipersoalkan, lebih-lebih lagi oleh seorang bekas (Naib Canselor Universiti Utara Malaysia) yang seharusnya faham bagaimana universiti beroperasi, termasuk peratusan kemasukan pelajar tempatan berbanding antarabangsa.

“Sebenarnya, kita sangat menjaga kepentingan anak-anak tempatan dan tidak pernah sekali pun terlintas untuk menganaktirikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah yang mendakwa KPT gagal menjaga kepentingan rakyat hingga menyebabkan berlakunya ‘tragedi bangsa’.

Azlinda menegaskan, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang dilaksanakan tidak mengabaikan akses pelajar tempatan, malah memberi nilai tambah kepada reputasi universiti negara di peringkat global.

“Kemasukan pelajar antarabangsa ke peringkat pasca-siswazah ini telah meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan ranking.

“Sehingga kini, Universiti Malaya berada di kedudukan 58 terbaik dunia manakala empat universiti penyelidikan lain berada di antara 126 hingga 153 terbaik dunia (QS Ranking).

“Manakala di peringkat ASEAN pula, lima universiti tanah air berada di 10 universiti terbaik, menunjukkan sistem pendidikan dan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi berada di landasan yang tepat,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, jumlah keseluruhan pelajar di lima universiti penyelidikan adalah seramai 180,024 orang setakat 31 Disember 2024 dengan majoriti terdiri daripada pelajar tempatan.

“Untuk rekod di lima universiti penyelidikan jumlah pelajar tempatan ialah 91.6 peratus, manakala pelajar antarabangsa hanya 8.4 peratus sahaja.

“Bagi pra-siswazah merangkumi sijil, diploma, ijazah dan ijazah sarjana muda, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.

“Manakala pelajar di peringkat pra-siswazah pula, fokus utama adalah kepada program ijazah sarjana muda dan subsidi disediakan oleh kepada anak-anak tempatan sahaja,” katanya.

Beliau menambah, bagi peringkat pasca-siswazah iaitu pengajian sarjana dan kedoktoran, dasar kemasukan bersifat terbuka tanpa had kepada pelajar antarabangsa, selaras dengan matlamat meningkatkan jaringan akademik global. – UTUSAN





Source link