Lebih Dua Pertiga Kapasiti Pusat Data Asia Tenggara Akan Dibina Di Malaysia
Effi Saharudin
Jika anda mempunyai persoalan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Malaysia ke arah negara kecerdasan buatan (AI) menerusi RMK 13, jawapannya boleh dijumpai pada data pembinaan pusat data serantau. Menurut laporan Reuters yang memetik data firma DC Byte, lebih dua pertiga kapasiti pusat data yang dibina di lima pasaran terbesar Asia Tenggara adalah di Malaysia.

Johor menjadi lokasi pilihan kerana kedudukannya yang hampir dengan Singapura membolehkan sambungan internet pantas dengan masa pendam rendah dinikmati oleh pelanggan. Tindakan Singapura mengenakan moratorium pembinaan pusat data selama 3 tahun kerana kekangan penggunaan kuasa juga menjadi pemangkin Johor sebagai jelapang pusat data Malaysia.
Sehingga penghujung 2024, terdapat 12 pusat data beroperasi di Johor dengan 42 projek bernilai RM 164.45 bilion diluluskan sehingga Q2 2025. Apabila kesemuanya beroperasi kelak, Johor akan menyumbang 78.6% kapasiti pusat data Malaysia.
Ini memberikan gambaran Malaysia di jalan yang betul ke arah impian menjadi hab pusat data rantau Asia Tenggara namun ia juga akan meningkat penggunaan tenaga dan pencemaran. Laporan RimbaWatch pada Ogos lalu menganggarkan pusat dapat akan mengeluarkan 9.9 juta ton karbon dioksida setiap tahun bersamaan pelepasan 2 juta kenderaan persendirian.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.