MELAKA: Anak jati Melaka, Toh Ee Wei yang melakar kejayaan manis merangkul gelaran juara dunia berpasangan dengan Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran di Paris baru-baru ini mengidam kilauan pingat emas Sukan Olimpik di Amerika Syarikat (AS) pada 2028.
Biarpun perjalanannya masih jauh namun pemain tersebut tetap menyemat keazaman mahu mengekalkan prestasi bagi mengejar impian menjadi pemain Malaysia pertama menyumbang pingat emas buat negara di Olimpik.
“Masih banyak masa lagi dan tempoh itu saya perlu mengekalkan prestasi sepanjang tempoh tiga tahun selepas bergelar juara dunia.
“Tetapi itu tidak mustahil untuk dicapai kerana jika saya dan Tang Jie mampu merangkul gelaran dunia dan mengapa tidak emas Olimpik menjadi sasaran.
“Untuk itu saya dan Tang Jie perlu mengekalkan momentum corak permainan mantap untuk mengharungi cabaran yang lebih getir dan tidak mahu tergopoh-gopoh,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima sumbangan insentif daripada sebuah syarikat berjumlah RM50,000 di Villa Bachang, di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Toh Puan Asmah Abd. Rahman pada majlis jamuan petang.
Dua hari lalu, pemain itu turut menerima habuan RM50,000 yang disumbangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi menghargai kejayaan di Paris.
Gandingan yang menghuni ranking ketiga dunia itu, berkata, selepas ini dia mahu melupakan semua anugerah yang diterimanya bagi memberi fokus menghadapi Kejohanan Master China dari 16 hingga 21 September ini.
“Saya ingin fokus di Master China terlebih dahulu sebelum memikirkan beberapa kejohanan lain yang akan menyusul dan itu bakal ditentukan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ee Wei mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang telah menyampaikan sumbangan selepas mencipta sejarah muncul juara dunia buat kali pertama dalam karier mereka bulan lalu.
Katanya, sumbangan yang diterimanya menjadi pemangkin untuk dia mengekalkan prestasi konsisten sehingga hujung tahun ini.
Tang Jie-Ee Wei mencipta kejutan besar apabila menundukkan pasangan pilihan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15 dan 21-14 di Kejohanan Dunia, sekali gus menghadiahkan pingat emas bersejarah buat Malaysia.-UTUSAN