Ujian Sambungan Internet Satelit Ke Kapal Terbang Merakamkan Kelajuan 1Gbps
Nazrin
Teknologi sambungan internet dari angkasa lepas ke permukaan bumi dilihat semakin berkembang, dengan pelbagai perkhidmatan seperti Starlink, ConnectMeNow dari Malaysia dan lain-lain mula memperlihatkan kemampuan mereka untuk menyambungkan peranti ke rangkaian internet tidak kira dimana mereka berada.
General Atomics, sebuah syarikat pertahanan dan tenaga dari Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam kapal terbang Kepler Communications dan berjaya menguji sambungan internet satelit ke kapal terbang yang mencatatkan sambungan internet berkelajuan 1Gbps.
Sambungan internet menggunakan satelit bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi ia secara lazimnya menggunakan pancaran elektromagnet yang boleh dipancarkan secara lebih meluas. Apa yang diuji oleh General Atomics dan Kepler Communications ialah sambungan menggunakan pancaran cahaya laser, yang secara lazimnya memerlukan penerima untuk berada dalam keadaan pegun dan mengekalkan line of sight atau sudut pandangan yang secara terus dari satelit ke komponen penerima.

General Atomics telah memasang sebuah pemancar/penerima laser Optical Communication Terminal (OCT) 10W mereka pada sebuah kapal terbang De Havilland Canada DHC-6 Twin Otter yang diterbangkan di ruang udara Amerika Syarikat.
Dengan teknologi yang diuji ini, OCT tersebut secara teknikalnya boleh memancarkan dan menerima data pada kadar 2.5Gbps, tetapi melalui ujian penerbangan kapal terbang, ia dilihat dapat menghantar dan menerima data pada kadar 1Gbps.
Dalam pada itu, jarak sambungan maksima diantara pemancar dan satelit dilaporkan adalah pada jarak 5500KM, tetapi untuk ujian ini, ia dilaporkan bahawa satelit berada dalam kedudukan orbit rendah, jadi jarak antara kedua-dua objek ini adalah lebih dekat daripada nilai maksima.
Keputusan ujian ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik, khususnya apabila aplikasi teknologi ini mungkin dapat dimanfaatkan oleh pelbagai sektor lain di masa akan datang.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.