Meta Disaman Bekas Ketua Sekuriti Siber WhatsApp Kerana Didakwa Mendedahkan Data Pengguna
Effi Saharudin
Selalu kita mendengar syarikat disaman selepas berlaku kecurian data yang serius. Ini berlaku ke atas Facebook selepas skandal Cambridge Analytica beberapa tahun lalu dengan denda mencecah berbilion dollar. Terkini, Meta disaman oleh bekas ketua sekuriti siber WhatsApp kerana didakwa mendedahkan data pengguna.
Saman difailkan oleh Attaullah Baig yang bertugas sebagai ketua sekuriti siber WhatsApp antara 2021-2025. Beliau mendakwa sekitar 1,500 jurutera WhatsApp mempunyai akses kepada data pengguna tanpa had dan pemerhatian yang merupakan kesalahan yang sama menyebabkan denda $5 bilion dikenakan ke atas syarikat pasca skandal Cambridge Analytica. Jurutera di Meta turut didakwa mempunyai kuasa untuk mencuri data pengguna dalam bentuk alamat IP, gambar profil dan maklumat bagaimana boleh dihubungi tanpa dikesan ataupun diaudit.

Baig turut mendedahkan Meta gagal menyelesaikan isu lebih 100,000 akaun pengguna digodam sebelum dicuri setiap hari. Saranan beliau untuk menyelesaikannya tidak diendahkan. Oleh sebab beliau berkeras isu perlu diselesaikan, Baig mendakwa beliau akhirnya dipecat kerana kerja yang tidak memuaskan.
Wakil Meta mengeluarkan kenyataan berkata saman difailkan Baig ialah “permainan biasa di mana bekas pekerja diberhentikan kerja kerana prestasi buruk dan kemudian mendedahkan kepada umum dengan dakwaan yang diputarbelitkan yang memberikan gambar yang salah kerja keras berterusan dilakukan pasukan kami.”
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.