Pos Denmark Menghentikan Penghantaran Surat Penghujung Tahun Ini
Effi Saharudin
Minggu lalu Pos Malaysia menggantung perkhidmatan penghantaran bungkusan antarabangsa ke Amerika Syarikat selepas pengecualian cukai de minimis telah dihentikan. Syarikat penerbangan enggan menanggung kos sekiranya bungkusan tidak tiba ke tangan penerima yang enggan membayar cukai baharu yang dikenakan pentadbiran Trump. Di Denmark lain pual ceritanya selepas syarikat pos kebangsaan PostNord menghentikan penghantaran surat pada penghujung 2025 kerana perubahan zaman.

PostNord menamatkan penghantaran surat kerana permintaan yang semakin berkurangan disebabkan oleh penduduk Denmark yang kini lebih selesa menggunakan perkhidmatan pemesejan digital yang lebih mudah serta pantas. Keputusan PostNord ini akan menamatkan perkhidmatan penghantaran surat yang ditawarkan mereka di Denmark sejak 1624. Jumlah surat yang dihantar di Denmark susut 90% daripada 1.4 billion pada tahun 2000 ke to 110 juta sahaja sepanjang 2024. Perkhidmatan penghantaran surat akan diambil oleh DAO, sebuah syarikat swasta.
Disebabkan penamatan perkhidmatan ini, lebih 1000 kakitangan PostNord akan kehilangan kerja. Surat tidak lagi dihantar bermula 2026 tetapi PostNord meningkatkan perkhidmatan penghantaran bungkusan yang semakin meningkat dan menguntungkan kerana populariti pembelian secara atas talian pasca pandemik.
Di Malaysia isu yang sama melanda Pos Malaysia yang mencatatkan kerugian RM 202 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM 157 juta pada tahun kewangan 2023. Tahun lalu penghantaran surat di Malaysia susut sebanyak 9% kerana orang ramai sudah berpindah kepada perkhidmatan digital. Tidak seperti PostNord, Pos Malaysia masih belum bersedia menamatkan perkhidmatan penghantaran surat.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.