Jika anda pemilik Xiaomi 33W Power Bank 20000mAh dengan kabel terbina, anda perlu memulangkannya semula kepada Xiaomi atas sebab keselamatan. Dalam notis yang diterbitkan hari ini, Xiaomi Malaysia mengatakan terdapat isu pada bahan mentah daripada pembekal untuk powerbank model PB2030MI yang dikeluarkan antara September 2024 hingga Oktober 2024.

Isu ini menyebabkan ia tidak berfungsi dengan betul dalam senario penggunaan tertentu yang berpotensi mengakibatkan bateri menjadi terlalu panas sehingga menimbulkan bahaya kebakaran. Xiaomi Malaysia mengatakan ia hanya melibatkan sebilangan kecil powerbank yang dijual.
Ini ialah kali kedua powerbank ditarik semula daripada pasaran Malaysia atas sebab keselamatan. Pada Jun lalu Anker Malaysia menarik semula jualan empat model powerbank dengan risiko kebakaran selepas mengesan isu pada pembekal bateri Li-ion yang digunakan.
Orang ramai boleh melakukan semakan nombor siri powerbank yang terkesan oleh penarikan semula ini menerusi pautan di bawah.