Acara teknologi AI Google Cloud AI Asia kembali lagi pada tahun ini di bandar Singapura, dimana bahagian Google Cloud, yang bertanggungjawab untuk pelbagai pembangunan dan pengenalan teknologi awanan dan AI telah memperkenalkan sejumlah perkembangan baru dalam arena ini, khususnya yang diterajui oleh negara tersebut.

Google Cloud telah membuat beberapa pengumuman menarik sewaktu acara tersebut, termasuklah pusat data Google Cloud Region untuk Singapura menjadi diantara yang pertama di dunia untuk dinaiktarafkan dengan teknologi-teknologi AI terbaru seperti Gemini 2.5 Flash, Vertex AI Search dan Notebook LM Enterprise.

Google Cloud bekerjasama dengan pelbagai pihak dari Singapura, termasuklah Centre for Strategic Infocomm Technologies (CSIT), DBS Bank, FairPrice Group (FPG), Government Technology Agency of Singapore (GovTech Singapore), Home Team Science and Technology Agency (HTX) dan National University of Singapore (NUS) untuk membangunkan pelbagai jenis sistem, teknologi dan perkhidmatan AI baru yang memanfaatkan pembangunan negara tersebut.

Josephine Teo, Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura mengatakan bahawa kerjasama dengan Google Cloud adalah sebahagian daripada pelan Enterprise Compute Initiative (ECI) untuk membolehkan syarikat-syarikat di negara tersebut untuk membangunkan teknologi, perkhidmatan dan produk AI secepat yang mungkin.
Satu contoh yang diberikan ialah Mirxes, sebuah syarikat pemula bioteknologi di Singapura yang sedang membangunkan kit ujian yang membantu doktor di hospital untuk mengesan sel-sel kanser dan juga penyakit lain dengan lebih awal. Ia kini bernilai sekitar S$1 bilion dan sedang menyelidik dan membangunkan lebih banyak teknologi kesihatan dan pengesanan penyakit baru.

Frasers Hospitality dan Gill Capital juga telah memanfaatkan teknologi-teknologi AI Google Cloud untuk membangunkan sistem operasi dan latihan bersama-sama dengan chatbot menggunakan teknologi seperti Imagen 4, Veo 3, Vertex AI dan Gemini terbaru yang bukan sahaja akan memanfaatkan para pekerja syarikat, tetapi juga pelanggan-pelanggan.
Thomas Kurian, CEO Google Cloud yang juga di acara tersebut membuat pengumuman berkenaan data residency atau kedaulatan data di negara tersebut, yang mengatakan bahawa data rakyat Singapura akan disimpan di negara tersebut sahaja, disamping kuasa pemprosesan AI yang akan dirumahkan di lokasi yang sama.

Ini bermakna bahawa bukan sahaja semua data yang terkandung di Singapura tidak akan disalurkan ke luar negara, tetapi juga Singapura sendiri mempunyai kebolehan untuk memproses inferens secara bersendiri, samada menggunakan kemampuan awanan ataupun kelengkapan mesin pelayan di premis tersendiri ataupun melalui kelengkapan yang tidak disambungkan ke mana-mana perkhidmatan awanan (edge devices).

Ia selari dengan satu lagi pengumuman baru berkenaan pengenalan teknologi LLM Gemini 2.5 yang ditawarkan melalui perkhidmatan Google Distributed Cloud, yang bermakna bahawa syarikat-syarikat yang mahu menggunakan perkhidmatan Google Gemini, tetapi mahu data syarikat hanya terkandung dalam persekitaran pusat data sendiri, GDC boleh digunakan untuk melatih sistem model bahasaraya mereka sendiri, tetapi kekal dengan kelebihan AI yang ditawarkan oleh Google.
Google Cloud juga akan mengembangkan rantau awanan (Cloud Region) mereka di Malaysia dan Thailand kelak, dan berkemungkinan bahawa fungsi seperti kedaulatan data dan kebolehan untuk memproses inferens dalam negara juga akan diperkenalkan apabila ia dibuka.