Microsoft Pecat Dua Lagi Kakitangan Terlibat Protes Azure Digunakan Mengintip Warga Palestin Oleh Israel
Effi Saharudin
Semalam pejabat Presiden Microsoft, Brad Smith berjaya diceroboh tujuh aktivis No Azure for Apartheid. Akibat pejabat tidak boleh diakses untuk beberapa jam dan kampus ditutup sementara atas sebab keselamatan. Dua daripada aktivis adalah kakitangan yang masih bertugas dengan syarikat dan hari ini mereka telah dipecat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi No Azure for Apartheid, salah seorang kakitangan yang dipecat berkata;
“Kami berada di sini kerana Microsoft terus menyediakan Israel dengan alat yang diperlukan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai sambil menyemai ragu pekerjanya sendiri tentang realiti ini. Kami adalah segelintir daripada beribu-ribu pekerja yang enggan membiarkan tenaga kerja mereka digunakan untuk pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin.”
Awal tahun ini Microsoft menafikan penggunaan teknologi mereka dalam genosid yang masih berlalu di Palestin. Kemudiannya laporan baharu diterbitkan oleh The Guardian, +972 Magazine dan Local Call menunjukkan storan awanan Azure digunakan untuk mengintip perbualan kesemua warga Palestin oleh Unit 8200 Israel sejak 2022.
Pelayar Azure dilaporkan menyimpan 200 juta jam perbualan telefon warga Palestin dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB. Ini menyebabkan Microsoft melantik firma luar untuk sekali lagi melakukan siasatan infrastruktur mereka digunakan untuk intipan kerana ia melanggar terma dan syarat penggunaan Azure.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.