PUTRAJAYA: Kejohanan Putrajaya Football Academy Cup (PFAC) 2025 yang berlangsung di Padang Sintetik Presint 4, di sini pada Sabtu dan Ahad lalu mendapat sambutan meriah dengan penyertaan 80 pasukan.
Kejohanan tahunan yang memasuki edisi kelima sejak mula dipertandingan pada 2019 sentiasa mendapat sokongan yang jitu dari pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan juga Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Putrajaya.
Presiden Putrajaya FA, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, lima kategori telah dipertandingan dalam kejohanan berkenaan iaitu membabitkan Bawah 8 Tahun (B-8), B-10, B-12, B-14 dan Bawah 16 Tahun.
Katanya, penganjuran kejohanan PFAC 2025 berjaya mencapai objektif untuk mencungkil bakat-bakat daripada pelbagai peringkat umur dalam sukan bola sepak selain memberi pendedahan pertandingan kepada pemain.
“Acara tahunan Putrajaya FA ini sememangnya di nantikan oleh akademi-akademi bola sepak dan juga sekolah-sekolah untuk menghantar pasukan masing-masing ke kejohanan ini.
“Syarat kejohanan ini terbuka untuk pasukan akar umbi dan tidak melibatkan pasukan NFDP, Akademi Tunas serta Sekolah Sukan. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 80 pasukan termasuk dari luar Lembah Kelang seperti Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan
“Terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan juga ibu bapa yang berkampung di gelanggang Putrajaya untuk memberikan sokongan kepada anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kejohanan selama dua hari itu menyaksikan kategori B-8 menjadi milik Team 360, B-10 (Gators FC), B-12 (Jeps Soccers), B-14 (MBI SC) dan kategori B-16 menjadi milik ASFA Warriors.
Mengulas lanjut, Ahmad Faisal berkata, kejohanan itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan aktiviti pembangunan akar umbi terus berjalan untuk melahirkan pemain berkualiti terutamanya buat anak-anak Putrajaya.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan penaja yang turut menjayakan kejohanan ini, terutamanya pihak Perbadanan Putrajaya dan Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Putrajaya. Semoga kerjasama yang terjalin dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN