Vivo Dan iQOO Dilaporkan Turut Naikkan Harga Peranti Di China
Amy Maizuraa
Nampaknya bukan hanya Oppo dan OnePlus yang menaikkan harga jualan peranti di China malah jenama lain di bawah BBK Electronics Corporation iaitu vivo dan iQOO turut mengambil langkah sama.

Oppo dan OnePlus telah menaikkan harga sejak 16 Mac lalu manakala vivo dan iQOO pula dilaporkan akan melaksanakan kenaikan tersebut bermula 18 Mac 2026. Walaupun pengumuman ini dibuat khusus untuk pasaran China namun besar kemungkinan kesannya akan turut dirasai di pasaran global.
Setakat ini, pengeluat berkenaan hanya menyatakan bahawa model tertentu akan terlibat tanpa memberikan senarai jelas telefon yang bakal menerima kenaikan harga. Mereka turut menegaskan bahawa keputusan ini dipengaruhi oleh peningkatan mendadak dan berterusan dalam kos semikonduktor serta storan global.

Kos memori yang semakin tinggi menjadi faktor utama, ditambah pula dengan keadaan pasaran cip yang semakin terbeban akibat permintaan besar daripada syarikat gergasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Lebih membimbangkan, risiko kekurangan bekalan helium turut boleh menjejaskan pengeluaran cip sekali gus menambah tekanan terhadap industri.
Penganalisis telah lama memberi amaran bahawa harga telefon pintar akan meningkat. Kini, amaran tersebut semakin terbukti apabila trend kenaikan harga semakin jelas dan dijangka berterusan dengan lebih banyak syarikat berkemungkinan mengambil langkah sama dalam masa terdekat.






