Xiaomi Masih Tiada Perancangan Membawa Masuk MIX Fold Ke Malaysia
July 26, 2025
•
Effi Saharudin
Xiaomi membuka kedai mercu kedua mereka di Malaysia di The Exchange TRX tengah hari tadi. Selepas usainya acara, kami menemuramah Eddie Huang, pengurus pemasaran Xiaomi untuk Malaysia dan Singapura untuk bertanya beberapa soalan yang berbalam di dada. Antaranya ialah adakah siri MIX Fold akan memasuki pasaran Malaysia?

Beliau berkata pada ketika ini Xiaomi Malaysia masih belum mempunyai sebarang perancangan membawa masuk peranti lipat jenis Fold kerana kurangnya permintaan untuk pasaran tempatan. Beliau menjelaskan di Malaysia, majoriti telefon pintar yang dijual masih lagi dalam kategori kelas permulaan.
Walaupun peranti kelas mercu seperti Xiaomi 15 mencatatkan peningkatan jualan, ia masih tidak cukup tinggi untuk mereka mula menjual Fold. Jika berlaku perubahan, beliau berkata Xiaomi tidak akan teragak-agak menjual peranti MIX Fold dan bukan sekadar MIX Flip sahaja di Malaysia.
Dalam sesi yang sama beliau turut menjelaskan ini juga sebab mengapa komputer riba tidak lagi dipasarkan di Malaysia. Kali terakhir mereka menjual komputer riba ialah Redmibook 15 pada tahun 2022 Kurangnya permintaan membuatkan jualan dihentikan.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.