Tiada Kad Grafik Baharu NVIDIA Tahun Ini Kerana Kekurangan RAM
Effi Saharudin
Berita buruk dan menyedihkan bagi golongan gamer pagi ini kerana NVIDIA tidak akan melancarkan kad grafik permainan video baharu mereka tahun ini menurut laporan The Information. Kad grafik siri RTX 6000 yang pastinya dinantikan kini ditangguh menjadikannya kali pertama dalam tempoh 30 tahun NVIDIA tidak melancarkan kad grafik baharu tahun demi tahun.

Seperti biasa sejak kebelakangan ini anda boleh menyalahkan kecerdasan buatan (AI) mengapa NVIDIA yang mendominasi 90% pasaran kad grafik tidak menawarkan model baharu. Tumpuan kini diberikan kepada GPU pusat data AI dan oleh itu segmen kad grafik gaming kini dilayan seperti anak tiri yang kematian ibu. Siri RTX 6000 yang menggunakan cip dengan senibina Rubin dijangka hanya akan dilancarkan lewat 2027.
Berita burut tidak berakhir di sini kerana apabila hujan ribut turun, ia hadir dengan pokok tumbang, jalan banjir dan atap terbang. The Information juga mengatakan pelancaran kad grafik RTX 5000 Super juga ditangguhkan sementara pengeluaran kas grafik siri RTX 5000 akan dikurangkan kerana kekurangan cip RAM.
Apokalips RAM sudahpun mengakibatkan telefon pintar, tablet dan komputer tahun ini dijual pada harga lebih tinggi. Kini golongan gamer pula merana keran pelancaran PlayStation 6 dan Xbox baharu turut ditangguh sementara harga jualan Steam Machine tidak bole diumumkan kerana Valve tidak boleh menjamin harga.






