Siri Samsung Galaxy S26 Akan Dilancarkan Pada 25 Februari
Effi Saharudin
Siri Samsung Galaxy S26 akan dilancarkan pada 25 Februari menurut imej yang ditiriskan oleh Evan Blass @evlekas hari ini. Di acara Galaxy Unpacked ini, tiga peranti Galaxy S26, Galaxy S26+, dan Galaxy S26 Ultra akan dilancarkan bersama dengan siri Galaxy Buds4 baharu.
Tiada maklumat lokasi acara akan diadakan tetapi ia sangat hampir dengan tarikh acara MWC Barcelona. Sudah lama Samsung tidak melancarkan peranti baharu mereka di MWC Barcelona dengan Unpacked selalunya berlangsung pada bulan Januari.

Menerusi beberapa imej acah dan video promosi yang telah dikongsi, siri Galaxy S26 akan menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan buat pertama kalinya dengan teknologi skrin yang boleh menghalang orang lain melihat apa yang dipandang menerusi sistem privasi baharu. Terdapat juga laporan di pasaran tertentu, cip Exynos akan ditawarkan.
Dari segi rekaan tidak perbezaan besar dijangka akan dilakukan selain bonggol kamera yang kini berbentuk bujur sama seperti digunakan di belakang Z Fold7, Galaxy S57 dan Galaxy A37. Jika Apple menyeragamkan antaramuka semua sistem operasi, Samsung pula menyeragamkan rekaan semua peranti yang mereka tawarkan.






