Jika anda sedang mencari sebuah komputer desktop dengan harga mampu milik, tetapi dengan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai jenis permainan komputer moden pada resolusi 1080p tanpa masalah, Acer Malaysia hari ini turut mengumumkan kemaskini kepada komputer desktop gaming Acer Nitro 50.

Rekaan rangka komputer desktop ini hadir dengan muatan 18 liter dengan ruang yang mencukupi untuk pengudaraan dan juga komponen-komponen komputer dalam saiz yang dilihat agak padat. Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 225F dan Intel Core Ultra 7 265F dengan 16GB memori DDR5 dan storan SSD sebesar 1TB.

Dari segi pilihan kad grafik pula, Acer Nitro 50 ini dimuatkan dengan NVIDIA GeForce RTX 5060 8GB yang dilihat cukup berkuasa untuk sejumlah permainan-permainan komputer moden, khususnya pada resolusi 1080p.

Dilancarkan pada hari ini, Acer Malaysia mengatakan bahawa harga jualan untuk komputer ini bermula pada RM4399 untuk model dengan CPU Intel Core Ultra 5 dan RM5299 untuk model dengan CPU Intel Core Ultra 7. Bersempena acara Acer Day yang akan berlangsung, setiap pembelian komputer Acer Nitro 50 ini akan hadir dengan hadiah percuma alat kawalan permainan Acer Nitro Wireless Gaming Controller bernilai RM199.