Secara Purata Bateri EV Boleh Bertahan Sehingga 13 Tahun Menurut Kajian Terkini
Effi Saharudin
Selain kerisauan mengenai jarak perjalanan yang pendek berbanding kenderaan ICE, pemilik EV juga sering dimomokkan dengan isu bateri kenderaan mereka tidak bertahan lama. Oleh itu sudah menjadi trend EV digantikan lebih awal berbanding kenderaan ICE sebelum kos ganti bater yang tinggi perlu dilakukan pemilik. Menurut kajian terkini Geotab, pemilik EV mungkin tidak perlu risau kerana hayat purata bateri kenderaan kini adalah sekitar 13 tahun.

Geotab mengumpul data lebih 22,700 EV yang merangkumi 21 pengeluar dan model sejak 2020. Secara purata mereka mendapati kapasiti bateri berkurangan 2.3% setiap tahun. Selepas 12 tahun, bateri masih mempunyai sekitar 75% kapasiti asal. Ini adalah hayat yang agak baik kerana secara purata pemilik akan membeli kenderaan baharu setiap 8 tahun. Bateri masih lagi baik semasa kereta baharu dibeli.
Pada waktu yang sama kajian turut mendapati kesihatan bateri akan berkurangan lebih pantas sekiranya pemilik menggunakan pengecas pantas DC berbanding pengecas AC tahap 2 yang lebih perlahan. Seperti telefon pintar, kunci kepada hayat bateri EV lebih baik ialah mengecas secara perlahan.





