Meta Horizon Workrooms Ditamatkan – Set Kepala Tidak Lagi Dijual Kepada Pelanggan Perniagaan
Effi Saharudin
Adakah Meta akan hanya sekadar nama dengan dunia metamesta bukan lagi tumpuan utama mereka? Jawapan ialah ya kerana ribuan pekerja Meta Reality Labs dibuang kerja dan studio yang menghasilkan permainan untuk Meta Quest mula ditutup. Tumpuan kini sepenuhnya diberikan kepada Meta Superintelligence Labs dengan harapan Meta menjadi syarikat pertama berjaya membangunkan kecerdasan am buatan (AGI).

Satu lagi paku sembilan inci yang menutup keranda metamesta di Meta ialah penutupan ciri Horizon Workrooms bermula 16 Februari depan. Horizon Workrooms yang dilancarkan pada tahun 2021 ialah untuk pelanggan perniagaan melakukan pertemuan dalam dunia realiti maya dalam suasana profesional menggunakan Meta Quest. Serentak dengan penutupannya, set kepala Meta Quest dan perkhidmatan Horizon untuk pelanggan perniagaan turut dihentikan bermula 20 Februari 2026.
Semasa dilancarkan, Horizon Workrooms menyokong aplikasi profesional seperti Zoom, Slack, Canva dan Dropbox. Meta benar-benar percaya masa depan pasca pandemik pekerja akan selesa melakukan mesyuarat dalam dunia VR menggunakan avatar 3D. Tetapi realitinya set kepala tidak mendapat sambutan dengan Apple Vision Pro sendiri tidak mencatatkan jualan tinggi selepas dilancarkan dua tahun lalu sehingga pengeluaran ditamatkan awal.
Walaupun dunia Horizon Worlds mungkin menanti untuk ditutup dalam masa beberapa tahun lagi, teknologi yang dibangunkan kini diguna pakai pada cermin mata Meta Ray-Ban Display dan Ray-Ban Meta yang kini menguasai pasaran cermin mata pintar.






