Malaysia Oversight

Pandang Pertama Proton e.MAS 7 PHEV – Dua Sumber Kuasa Untuk Jarak Jauh

By Amanz in January 14, 2026 – Reading time 3 minute
Pandang Pertama Proton e.MAS 7 PHEV – Dua Sumber Kuasa Untuk Jarak Jauh


Baru-baru ini di satu sesi bersama media Proton baru sahaja menunjukan e.MAS 7 PHEV, sebuah model yang mencipta sejarah sebagai kereta elektrifikasi pertama di Malaysia yang menggabungkan dua sumber kuasa. Seperti namanya, e.MAS 7 PHEV merupakan sebuah Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang menggunakan gabungan enjin petrol konvensional dan motor elektrik, memberikan fleksibiliti serta kecekapan untuk pemanduan harian mahupun jarak jauh.

WhatsApp Image 2026 01 13 at 20.12.20

Dari segi kedudukan pasaran, e.MAS 7 PHEV tergolong dalam kategori SUV segmen C. Sekilas pandang pada rekaan luaran, ia tampil sedikit berbeza berbanding e.MAS 7 versi biasa. Paling ketara ialah rekaan lampu hadapan yang kini disambungkan dengan satu jalur lampu dari kiri ke kanan, memberikan imej lebih moden dan futuristik. Konsep rekaan yang sama turut digunakan pada lampu brek belakang, menjadikan keseluruhan rekaan kelihatan lebih kemas dan premium.

WhatsApp Image 2026 01 13 at 19.59.05
WhatsApp Image 2026 01 13 at 19.59.05 2

Proton menawarkan tiga varian untuk e.MAS 7 PHEV iaitu Prime, Premium dan Premium+. Bagi varian Prime dan Premium, ia dilengkapi bateri berkapasiti 18.4 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 105 km (NEDC) menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Varian Premium+ pula tampil dengan bateri yang lebih besar, 29.8 kWh, membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 km (NEDC).

WhatsApp Image 2026 01 13 at 20.00.49

Motor elektrik pada e.MAS 7 PHEV mampu menghasilkan kuasa sehingga 160 kW dengan 262 Nm tork, memberikan pecutan yang responsif. Dari aspek pengecasan, varian Prime dan Premium menyokong pengecasan DC 30 kW, membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam masa bawah 20 minit. Untuk varian Premium+, ia menyokong pengecasan DC 60 kW, dengan masa pengecasan 30 ke 80 peratus bawah 16 minit. Ketiga-tiga varian turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW.

WhatsApp Image 2026 01 13 at 20.06.08

Beralih kepada enjin, kesemua varian menggunakan enjin yang sama iaitu 1.5 liter 4-silinder dedicated hybrid engine. Enjin ini menghasilkan 73 kW kuasa dan 125 Nm tork, dengan penggunaan bahan api yang sangat cekap iaitu hanya 4.3 liter bagi setiap 100 km. Apabila digabungkan antara motor elektrik dan enjin petrol, e.MAS 7 PHEV mampu mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,065 km (NEDC).

e.MAS 7 PHEV menawarkan tiga mod pemanduan. Mod Pure membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, seakan memandu EV sebenar tanpa penggunaan enjin. Mod Hybrid pula akan mengurus penggunaan motor elektrik dan enjin secara automatik, atau gabungan kedua-duanya, bagi mendapatkan jarak pemanduan paling optimum. Mod terakhir, Power, memberikan keutamaan kepada prestasi dengan penghantaran kuasa yang lebih banyak. 

WhatsApp Image 2026 01 13 at 20.05.02

Masuk ke bahagian dalaman, kabin e.MAS 7 PHEV terasa luas dan moden. Di bahagian tengah terdapat skrin besar 15.4 inci 2.5K touchscreen yang dikuasakan oleh Flyme Auto OS, lengkap dengan sokongan CarPlay dan Android Auto. Tempat duduk belakang juga menawarkan ruang kaki dan kepala yang selesa; bagi penumpang dengan ketinggian sekitar 170 cm, ruang yang disediakan masih terasa lega.

Interior 3

Dari segi praktikaliti, ruang but belakang berkapasiti 528 liter, dengan tambahan ruang simpanan di bahagian bawah lantai. Jika tempat duduk belakang dilipat, kapasiti ruang simpanan boleh ditingkatkan sehingga 2,065 liter, menjadikan e.MAS 7 PHEV sesuai untuk kegunaan keluarga dan aktiviti harian.

WhatsApp Image 2026 01 13 at 19.59.08

Secara keseluruhan, Proton e.MAS 7 PHEV tampil sebagai sebuah SUV elektrik yang seimbang dari segi prestasi, kecekapan dan praktikaliti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam segmen PHEV di pasaran Malaysia. Jika berminat, anda sudah boleh menempah keluaran terbaru Proton ini dengan harga pasaran dianggarkan sekitar RM110,000 hingga RM130,000.



Source link